Pemain badminton perseorangan lelaki Lee Zii Jia menewaskan pemain Ukraine Artem Pochtarov 21-5, 21-11 dalam saingan Olimpik Tokyo pada 25 Julai 2021 – Foto Facebook Majlis Sukan Negara
AGENDASUKANKINI

Olimpik Tokyo: Zii Jia menang mudah, beregu wanita terkandas

TOKYO, 25 JULAI: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan dengan menumpaskan pemain Ukraine Artem Pochtarov dalam aksi pertama peringkat Kumpulan M pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

Pemain berusia 23 tahun itu yang membuat penampilan pertama di pentas Olimpik mencatat kemenangan mudah selepas mengetepikan cabaran lawannya itu dalam tempoh 25 minit pada aksi yang berlangsung di Musashino Forest Sport Plaza.

Zii Jia, yang berada di ranking kelapan dunia, ternyata berada di kelas tersendiri pada set pertama apabila merekodkan kemenangan 21-5, sebelum mengatasi Pochtarov yang menghuni ranking ke-98 dunia dengan 21-11 pada set kedua.

Selain Pochtarov, pemain kelahiran Kedah itu yang muncul Juara All England pada Mac lepas dan diletakkan sandaran meraih pingat emas negara pada Sukan Olimpik Tokyo, akan menentang pemain Perancis, Brice Leverdez dalam aksi Kumpulan M, selepas ini.

Sementara itu, cabaran beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean pada temasya sukan berkenaan berakhir apabila mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam aksi Kumpulan A, malam ini.

Walaupun menampilkan semangat juang yang tinggi, ia belum mencukupi bagi mengatasi pasangan nombor satu dunia dari Jepun, Sayaka Hirota-Yuki Fukushima apabila tumpas dalam pertarungan tiga set yang berlangsung selama 84 minit.

Mei Kuan-Meng Yean bermula cemerlang pada set pertama apabila melakar kemenangan 21-17, namun gagal mengekalkan rentak pada set kedua apabila tumpas 15-21 dan kecundang 8-21 di set penentuan.

Semalam, pasangan Malaysia itu terpaksa akur di tangan pasangan Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu 14-21, 17-21 dalam aksi pembukaan Kumpulan A.

Gandingan Malaysia itu dijadual bertemu beregu England, Chloe Birch-Lauren Smith bagi melengkapkan aksi Kumpulan A.

Hanya dua pasangan teratas dalam setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati.

 


Pengarang :