Orang ramai perlu patuh tatacara operasi piawai dengan menggunakan pelitup muka dan penjarakan fizikal di tempat awam dan sesak bagi mengawal penularan Covid-19. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Operasi patuh besar-besaran, tumpu negeri kes tinggi

SHAH ALAM, 1 JULAI: Pihak berkuasa pelbagai agensi akan melaksanakan `Op Patuh’ di seluruh negara mulai esok, bagi mengatasi isu kegagalan premis mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Menteri dalam negeri berkata operasi besar-besaran menyasarkan kilang, restoran serta premis perniagaan, pengedaran dan peruncitan dengan tumpuan lebih kepada negeri mencatat kes Covid-19 tinggi.

“Keputusan dibuat menerusi mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS) bersama semua wakil daripada 23 kementerian, jabatan serta agensi terlibat.

“Operasi bersepadu ini membabitkan pemeriksaan lebih ketat serta pemantauan lebih menyeluruh dengan penggunaan aset seperti helikopter, dron selain sekatan jalan raya,” kata Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata berdasarkan statistik dari 25 Jun hingga semalam, sebanyak 126,207 premis kilang, asrama pekerja dan perniagaan telah diperiksa melalui Op Patuh.

“Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 602 kompaun dikeluarkan terhadap kilang dan premis, manakala 60 premis telah diarahkan tutup atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi SOP serta arahan PKP,” katanya.


Pengarang :