Seorang lelaki orang asli, Yatim Dirun, 49, yang lumpuh separuh badan akibat kemalangan ketika bekerja menerima suntikan vaksin daripada Doktor Hazizi Abdul Yadzid dari U.n.i Klinik Bakri pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Tanah Abang pada 2 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Orang Asli lumpuh 28 tahun terima suntikan vaksin Covid-19 di rumah

MERSING, 3 JULAI: Seorang lelaki Orang Asli yang lumpuh separuh badan sejak 28 tahun lepas meluahkan rasa syukur dan terharu apabila diberikan suntikan vaksin di rumahnya semalam.

Yatim Deron, 49, merupakan satu-satunya Orang Asli yang divaksinasi di rumah berikutan kesukarannya untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak di dewan serba guna yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.

Bapa kepada dua orang anak itu berkata kehadiran pasukan vaksinasi di rumahnya membuktikan golongan sepertinya tidak dipinggirkan.

“Memang terharu jugalah, memandangkan saya ni tak boleh jalan. Nak pergi mana-mana pun dah sukar. Bila mereka datang ke sini (untuk memberi vaksin), saya sangat berterima kasih terutama kepada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli yang jadi penganjurnya,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Orang Asli Tanah Abang, dekat sini semalam.

Yatim yang lumpuh akibat dihempap pokok balak menerima dos pertama vaksin jenis Sinovac. Turut menerima dos pertama hari ini ialah 214 lagi Orang Asli daripada suku kaum Jakun di kampung itu.

Mengakui dia pada mulanya gementar untuk menerima suntikan vaksin kerana disogokkan dengan begitu banyak cerita negatif melalui media sosial, Yatim memutuskan menerima vaksin secara sukarela berikutan penularan wabak itu di negara ini dilihat semakin serius.

Sementara itu, penerima pertama vaksin di kampung tersebut, Lias Ajis, 40, berkata dia bersetuju divaksinasi kerana menyedari kepentingan vaksin dalam melindungi diri dan keluarga daripada dijangkiti virus Covid-19.

“Sekarang ini kita banyak keluar kerja. Vaksin ni untuk diri kita jugakan, lindungi diri kita dan keluarga,” kata bapa kepada dua orang anak itu yang turut meluahkan rasa syukur kerana tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas disuntik vaksin berkenaan.

Seramai 25 petugas kesihatan dan bukan kesihatan melaksanakan program imunisasi sehari di kampung itu menggunakan bas ekspres Mara Liner yang diubah suai sebagai PPV bergerak.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad meninjau proses pemberian vaksin di kampung itu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Endau Alwiyah Talib dan Pegawai Daerah Mersing Mohd Radzi Mohd Amin.

– BERNAMA


Pengarang :