Datuk Seri Anwar Ibrahim berbahas pada sidang Dewan Rakyat yang berlangsung mulai 13 Julai hingga 27 Ogos 2020. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

PAKATAN dakwa sidang Parlimen pendek, tiada peluang bahas

SHAH ALAM, 7 JULAI: Sidang Dewan Rakyat selama lima hari bermula 26 Julai ini terlalu singkat untuk membahaskan isu penting termasuk darurat, kata Pakatan Harapan (PAKATAN).

Majlis Presidennya berkata pihaknya kesal  kerajaan dilihat hanya berniat untuk memberi penerangan berkaitan Pelan Pemulihan Negara tanpa sebarang perbahasan.

“Majlis Presiden berpandangan sidang khas tersebut adalah terlalu pendek untuk benar-benar membahaskan perkara-perkara yang telah dititikberatkan Seri Paduka Baginda, iaitu Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara.

“Proklamasi serta Ordinan-Ordinan Darurat hanya akan dibentang dan tidak dibahas mahupun diputuskan. Ini langsung tidak menepati titah pandangan Seri Paduka Baginda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Isnin lalu kerajaan bersetuju untuk mengadakan sidang Dewan Rakyat selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai serta 2 Ogos manakala sidang Dewan Negara diadakan selama tiga hari mulai 3 Ogos.

Pada 16 Jun, Seri Paduka Baginda menitahkan Dewan Rakyat harus bersidang “secepat mungkin” untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan Covid-19 dan beberapa kali menzahirkan pandangan sama termasuk ketika menerima menghadap speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat pada 29 Jun.


Pengarang :