Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Ke-14 di Parlimen pada 26 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PAKATAN desak isu batal ordinan darurat dijawab segera

SHAH ALAM, 27 JULAI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) perlu menjawab pembatalan Ordinan Darurat dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini bukan Isnin depan.

Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang membawa usul berkenaan ketika bermula hari kedua persidangan menjelaskan Datuk Seri Takiyuddin Hassan harus menjelaskan segera kenyataan semalam bahawa ordinan itu ditarik balik kerajaan 21 Julai lalu.

Menurutnya pelbagai persoalan timbul susulan kenyataan Takiyuddin sama ada ia sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan dibentangkan di Dewan Rakyat seperti terkandung dalam Perlembagaan.

“Sekiranya sudah dibatalkan mengapa kita tidak dimaklumkan, rakyat tidak tahu. Kenapa kita tidak dimaklumkan, mengapa tidak diletakkan di meja setiap ahli parlimen supaya kita dapat tahu secara spesifik bila dibatalkan siapa buat keputusan.

“Adakah ikut peraturan dan kesan dia terhadap ordinan khususnya kepada rakyat umum,” katanya.

Desakan sama turut disuarakan beberapa wakil rakyat PAKATAN antaranya Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) dan Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang meminta penjelasan diberi hari ini kerana mempunyai kesan kepada orang ramai.

Takiyuddin ketika diminta menjawab desakan itu oleh Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan beliau hanya akan menjawab semua perkara berkaitan Ordinan Darurat termasuk pembatalannya, Isnin ini.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat (Datuk Azhar Azizan Harun) sudah membuat satu petua semalam, yang mana semua persoalan dan isu dibangkitkan ahli parlimen berhubung perkara itu dijawab pada hari berkenaan (Isnin),” katanya.

Semalam Takiyuddin berkata kabinet memutuskan untuk membatalkan ordinan-ordinan yang dibuat semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa selain tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan pelanjutan darurat, yang dijadual tamat pada 1 Ogos ini.


Pengarang :