AGENDANASIONAL

PAKATAN sifatkan kenyataan Pejabat PM derhaka terhadap Raja Perlembagaan

SHAH ALAM, 30 JULAI: Kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) kepada Istana Negara disifatkan angkuh dan biadab, bahkan suatu penderhakaan terhadap sistem Raja Berpelembagaan.

Menganggap kenyataan itu umpama “menegakkan benang yang basah”, Majlis Presiden Pakatan Rakyat (PAKATAN) berkata PMO turut mempertikai titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

PAKATAN menegaskan Seri Paduka Baginda jelas belum memberi perkenan pembatalan Ordinan Darurat, justeru Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengelirukan ahli Dewan Rakyat.

“Oleh itu, kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri semalam adalah angkuh dan biadab terhadap Ketua Utama Negara, menderhakai Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen,” menurut kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Semalam, PMO membuat kenyataan bahawa kerajaan sudah menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat sebelum sidang khas parlimen diadakan pada 26 Julai lalu.

Kenyataan itu juga menyebut  Seri Paduka Baginda “perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat jemaah menteri” berdasarkan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa “amat dukacita” dengan pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda.

 

 


Pengarang :