Salah seorang pasangan kakitangan Media Selangor, Siti Mariam Mustama selepas menerima vaksin dalam program Vaksin Selangor (Selvax) Industri di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 20 Julai 2021.
SELANGOR

Pasangan kakitangan Media Selangor lega terima suntikan vaksin percuma

SHAH ALAM, 21 JULAI: Keprihatinan Media Selangor memberi suntikan vaksin Covid-19 percuma kepada pasangan kakitangan menerusi program Selangor Vaksin (Selvax) Industri memberi kelegaan kepada penerima.

Suri rumah Nurul Aini Ahmad Bakri, 33, berkata beliau bersyukur syarikat tempat kerja suaminya mengambil inisiatif itu kepada pasangan kakitangan.

“Langkah yang diambil ini adalah usaha memutuskan rantaian Covid-19 dan apabila menerima vaksin saya lebih yakin kerana bimbang berlaku jangkitan kepada bayi kami yang berusia tiga bulan,” katanya kepada SelangorKini.

Nurul Aini Ahmad Bakri, 33

Kakitangan swasta Noor Hafizah Mohamed Jaimi, 37, pula berkata beliau teruja menerima vaksin percuma disediakan syarikat Media Selangor sekali gus dapat mempercepat proses mencapai imuniti kelompok.

“Saya telah daftar dengan MySejahtera sejak April lalu untuk menerima vaksin. Apabila suami memberitahu inisiatif ini, saya teruja dan memaklumkan kepadanya supaya mendaftarkan nama sebagai penerima vaksin,” katanya.

Sementara Suri rumah Siti Mariam Mustama, 38, mengucapkan terima kasih kepada Media Selangor kerana memudahkan urusannya menerima vaskin dan memberikannya secara percuma.

“Walaupun di rumah, golongan isteri juga terdedah dengan bahaya kerana boleh berjangkit dengan suami yang bekerja di luar. Inisiatif Media Selangor ini harus dipuji,” katanya.

 


Pengarang :