Peniagaan nasi ayam diusahakan Mat Nazari Abdullah dan Norsadah Zainudin hasil bantuan LZS melalui Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd
RENCANAWAWANCARA

Pasangan OKU cekal berniaga, ubah nasib demi anak

Foto REMY ARIFIN

SHAH ALAM, 20 JULAI: Gaji Mat Nazari Abdullah, 55, sebagai pengawal keselamatan tidak banyak mana. Selalu sahaja tidak cukup untuk menampung keluarga termasuk anak yang kerap keluar masuk hospital.

Namun, beliau tidak banyak pilihan. Keadaannya sebagai orang kelainan upaya akibat jatuh pokok ketika berusia 17 tahun membataskan pilihannya.

Kejadian itu mengakibatkan kecacatan kekal. Tidak boleh membuat kerja berat lantaran tangan kirinya tidak boleh dibengkok.

Kemiskinan hidup tujuh beranak sering kali menganggu emosinya. Pernah, Hawa, anak kedua yang kerap menghidapi sawan kepingin coklat Cadbury. Walau cuma RM10, beliau terpaksa meminjam daripada pegawainya.

Itu kisah lapan tahun lalu. Kini, berkat bantuan dan tunjuk ajar Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mat Nazari mengubah kehidupannya seterusnya keluar dari senarai asnaf.

Namun, beliau tidak sesekali lupa detik suatu hari pada 2013. Ketika itu, fikirannya berkecamuk. Hawa yang berusia tiga bulan asyik keluar masuk Hospital Sungai Buloh kerana semput dan diserang sawan.

Paling kurang, seminggu ditahan di wad. Pernah juga sampai dua minggu. Bil hospital meningkat. Perbelanjaan bertambah kerana kerap berulang alik.

Pengorbanan

Ini tidak boleh jadi, fikir Mat Nazari dan isterinya Norsadah Zainudin. Setelah berbincang panjang, berbekal pengalaman Norsadah, 42, yang pernah bekerja sebagai pembantu tukang masak, mereka cuba berniaga nasi ayam.

Mat Nazari Abdullah dan isteri Norsadah Zainudin

Fikir mereka, kerja sendiri lebih mudah. Boleh bercuti bila-bila masa jika Hawa masuk hospital. Sebelum ini pun, mereka kerap ditegur majikan kerana ‘ponteng kerja’.

Paling penting mereka dapat menambah pendapatan untuk membiayai bil hospital dan keperluan harian.

Namun, berniaga tidak semudah disangka. Jualan nasi ayamnya kurang laris. Tiga ekor ayam sehari pun belum tentu habis.

“Sedih bila ingatkan keadaan masa itu. Anak sakit. Berniaga pula tidak laku. Pernah sehari cuma dapat jual 10 bungkus sahaja. Namun, saya dan isteri cekalkan hati dan bertahan sampailah jualan bertambah sedikit.

“Kadang-kadang tidak dapat berniaga dalam tempoh lama kerana jaga Hawa di hospital,” cerita Mat Nazari tersengguk-sengguk, menakung air mata. Akhirnya tumpah jua.

Kena kompaun

Bukan itu sahaja cabaran. Mereka juga tidak memiliki lesen perniagaan. Beberapa kali mereka dikompaun manakala barangan niaga seperti payung, meja dan barang jualan disita. Mereka pasrah.

Mujurlah, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menghulur bantuan berikutan kegigihan mereka untuk mengubah kehidupan. Malah, mereka sebenarnya menerima bantuan persekolahan dan hari raya sejak 2012 lagi.

Tahun 2018 menjadi titik perubahan kehidupan Mat Nazari. LZS melalui Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) memberi sumbangan sebuah lori untuk mereka meneruskan perniagaan.

Norsadah Zainudin (kanan) menyerahkan bungkusan nasi kepada pelanggan

Sumbangan itu sangat bermakna. Mat Nazari tidak lagi perlu berulang-alik dua tiga kali untuk mengangkut bahan niaga lantaran keretanya kecil.

Norsadah juga diberi pelbagai kursus mendalami ilmu perniagaan termasuk keperluan mematuhi undang-undang pihak berkuasa tempatan.

Sejak itu, jualannya mampu mencecah RM500 hingga RM600 sehari. Jika dulu, tiga ekor ayam pun susah habis tetapi kini antara 10 hingga 13 ayam sehari dihabiskan. Menu pula dipelbagai. Nasi tomato dan nasi vanggey juga ada.

Pada siang hari, Mat Nazari membantu Norsadah berniaga. Malamnya pula bertugas sebagai pengawal keselamatan. Pendapatan mereka kian bertambah.

Walau kehidupan mereka tidak mewah tetapi cukup. Pada 2018, LZS mengisytiharkan mereka keluar daripada senarai asnaf.

“Sangat berterima kasih kepada LZS. Syukur walaupun kami tidak kaya tetapi dengan rezeki yang ada, kami mampu berdikari tanpa harapkan bantuan zakat.

“Sebenarnya, paling penting kita perlu tolong diri sendiri untuk keluar daripada kemiskinan. Tidak boleh harapkan bantuan zakat berterusan,” katanya.

Paling melegakan mereka, Hawa yang kini menginjak usia lapan tahun tidak lagi sakit-sakit seperti dahulu. Kesihatannya beransur baik sejak berumur lima tahun.


Pengarang :