Ketua Pegawai Eksekutif Blackbean Enterprise, Mohd Taufik Khairuddin, 30, (kanan) bersama Pengurus Jenama, Mohammad Hanif Jamaluddin memantau kerja-kerja pembungkusan produk Mellow di kilang Frunchie pada temu bual baru baru ini. Foto BERNAMA
RENCANAWAWANCARA

Pasangan suami isteri buka kilang biskut, bantu individu hilang kerja

Oleh Amanina Mohamad Yusof

PUTRAJAYA, 14 JULAI: Tatkala ramai mengeluh kerana terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun masih ada yang berjaya memahat kejayaan, berkat hasil usaha gigih serta cekal mengambil risiko perniagaan.

Pasangan suami isteri, Mohd Taufik Khairuddin, 30, dan Lailatul Sarahjanna Mohamad Ismail, 30, melaburkan sejumlah wang yang agak banyak untuk membuka kilang biskut di Cyberjaya pada waktu getir PKP.

Produk biskut yang diberi nama ‘Frunchie’, hasil resipi istimewa pasangan ini bukan sahaja pembuka pintu rezeki buat mereka, malah turut membantu golongan yang memerlukan pekerjaan temasuk ibu tunggal, mereka yang kehilangan pekerjaan serta lepasan sekolah dan universiti.

Kini, setelah hampir 11 bulan beroperasi, biskut Frunchie yang menggabungkan coklat premium serta cranberries semakin mendapat sambutan daripada peminat biskut dalam negara dan juga di negara jiran Brunei dan Singapura.

Bantu rakan 

Sebelum berjaya dengan Frunchie, Mohd Taufik dan isterinya pernah mengusahakan perniagaan biskut jenama Zombie Cookies pada tahun 2018 dengan menyewa sebuah kedai di Shah Alam, Selangor.

Biskut coklat cip keluaran Bumiputera pertama yang dipasarkan di sebuah rangkaian kedai produk kesihatan dan kecantikan, bagaimanapun turut terjejas dengan pelaksanaan PKP.

“Semasa PKP 1.0 pada Mac tahun 2020, kebanyakan perniagaan ditutup atau mengehadkan operasi perniagaan. Ini termasuk rangkaian kedai yang memasarkan Zombie Cookies, yang ketika itu tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

“Pendapatan hasil jualan biskut kami turut terjejas. Pada masa itu baru saya sedar yang kami tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada perniagaan Zombie Cookies semata-mata, ” kata Mohd Taufik kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau, semasa mengusahakan Zombie Cookies lagi, ramai bekas rakan sekerjanya di sebuah syarikat penerbangan tempatan datang bertanyakan peluang pekerjaan kerana diberhentikan kerja semasa PKP.

Hasrat beliau untuk membantu rakan-rakannya ketika itu tidak dapat diteruskan kerana perniagaan biskut Zombie Cookies yang turut terjejas.

“Keadaan itu mendorong kami untuk membuka satu lagi cabang perniagaan baru yang turut berasaskan biskut iaitu Frunchie. Kelainannya dengan biskut sebelum ini adalah ia merupakan biskut rangup yang disaluti coklat cair premium dan kami dapati produk ini mempunyai potensi nilai pasaran tinggi dan disukai ramai,” katanya.

Produk keluaran Syarikat Blackbean Enterprise yang mendapat perhatian pembeli iaitu Frunchie (Berry Crunch dan Berry Cookies), Mellow (bijiran coklat diliputi dengan cecair coklat), Viscoff (‘baby crunch’ dalam cecair coklat berkaramel) dan Tortilla (kepingan kerepek yang ditaburi serbuk keju). Foto BERNAMA

Berbanding produknya sebelum ini yang hanya tertumpu penjualannya di rangkaian kedai, Mohd Taufik berkata untuk Frunchie, beliau dan isterinya menukar strategi dengan memasarkannya melalui sistem ejen yang dilihat lebih praktikal ketika musim PKP.

Ini memandangkan kesukaran orang bergerak untuk melakukan pembelian secara fizikal, justeru, konsep penjualan berasaskan sistem ejen yang tidak bergantung sepenuhnya kepada masa perniagaan selain boleh diiklankan pada bila-bila masa di media sosial.

Menariknya, strategi pemasaran ini bukan sahaja berjaya menyuntik kembali sinar perniagaan buat pasangan suami isteri ini bahkan juga merealisasikan hasrat Mohd Taufik untuk menciptakan peluang pekerjaan buat rakannya dan juga golongan lain yang memerlukan pekerjaan.

Masih banyak cabaran

Bagaimanapun, Mohd Taufik mengakui bukannya mudah untuk kembali bangkit dengan meraih hasil pendapatan yang tinggi apatah lagi di musim pandemik yang masih berterusan ini.

Meskipun berhadapan pelbagai halangan semasa permulaan operasi kilang Frunchie, namun anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan ini tidak pernah patah semangat.

Bermula dengan hanya lapan orang pekerja termasuklah dirinya dan isteri, beliau tidak kisah ‘turun padang’ membantu dan melihat sendiri operasi pembuatan biskut berkenaan termasuklah memasak secara manual coklat cair kerana belum lagi mampu untuk membeli mesin pada masa itu.

Malah, proses pembungkusan dan pemasaran turut dilakukannya sendiri dengan mempraktikkan pengalaman bekerja dalam bidang pemasaran di beberapa buah syarikat terkemuka.

Graduan Diploma Seni Reka dan Media Digital dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sri Iskandar, Perak ini turut memanfaatkan sepenuhnya pengetahuan yang ada dalam penghasilan grafik bagi pembungkusan produk selain memanfaatkan teknologi media sosial untuk memasarkan Frunchie.

“Ketika mengusahakan Zombie Cookies, kami tidak ada pekerja, cuma ada saya dan isteri saya. Kami kemudiannya memberanikan diri untuk mengambil lapan orang pekerja untuk perniagaan Frunchie.

“Niat kami untuk membantu mereka yang susah. Daripada lapan orang, kami kini mempunya lebih 150 pekerja,” katanya.

Menurut Mohd Taufik, antara faktor yang melariskan penjualan biskutnya adalah apabila ramai yang menghabiskan masa di media sosial seperti Facebook serta Instagram semasa PKP kerana kebanyakannya duduk di rumah, sekali gus menyebabkan mereka mudah tertarik dengan apa yang dipasarkan.

“Selain itu, saya juga menjalin kerjasama dengan selebriti tempatan untuk mempromosikan Frunchie kerana kita tahu selebriti dan instafamous ini mempunyai pengikut tersendiri,” katanya.

‘Marketing mafia’ 

Malah, bagi mengukuhkan lagi pemasaran, Mohd Taufik menubuhkan pasukan pemasaran yang dinamakan ‘Marketing Mafia’ dan beliau sendiri menyandang jawatan pengarah pemasaran.

Dengan lapan orang kakitangan, beliau memberikan setiap seorang daripada mereka tanggungjawab mengendalikan peranan tertentu antaranya pemasaran, jualan, perhubungan pelanggan, logistik, sistem ejen, pengoperasian, kajian dan pembangunan (R&D) dan media sosial.

“Pemasaran adalah kekuatan syarikat kami, Blackbean Enterprise. Disebabkan kami tidak menjual produk secara terus tetapi kami menjual jenama dan kerana itu amat penting memperkukuhkan jenama Frunchie ini melalui media sosial yang tiada sempadan,” katanya.

Hasil pemasaran yang agresif dengan saluran tepat, beliau berjaya membawa Frunchie meraih keuntungan dengan mencatatkan hasil jualan sangat memberangsangkan iaitu sebanyak RM2.5 juta dalam tempoh tiga bulan serta merekrut seramai 4,500 ejen seluruh negara.

Bertitik tolak daripada kejayaan tersebut, syarikatnya terus menghasilkan pelbagai produk inovatif yang telah mendapat perhatian daripada pembeli antaranya Mellow (bijiran coklat diliputi dengan cecair coklat), Viscoff (‘puffed rice’ dalam cecair coklat berkaramel) dan Tortilla (kepingan kerepek yang ditaburi serbuk keju).

Selari dengan penambahan kepelbagaian produk, Mohd Taufik yakin sasaran jualan RM2.5 juta sebulan untuk keempat-empat produk itu mampu dicapai.

“Saya yakin kami boleh mencapai sasaran yang ditetapkan kerana produk ini selain harganya yang mesra poket, ia juga mudah diterima pelbagai lapisan masyarakat.

“Tak susah sebenarnya menjual produk makanan, yang penting strategi pemasaran kena betul,” katanya.

Lebarkan sayap pasaran 

Tidak mahu hanya tertumpu pasaran tempatan, Mohd Taufik turut melebarkan sayap perniagaannya sehingga ke Singapura dan Brunei serta bercadang mahu ‘menerbangkan’ produk keluaran syarikatnya ke Indonesia dengan menjadikan Mellow sebagai ‘tarikan utama’ menawan selera masyarakat di sana.

“Kajian kami mendapati penduduk Indonesia menyukai produk makanan yang berasaskan Milo dan kerana itu Mellow akan menjadi produk syarikat kami yang pertama dijual di sana.

“Kami merancang untuk memasuki pasaran Indonesia dalam masa terdekat dan setakat ini perbincangan bersama rakan kongsi di sana menunjukkan hasil positif,” katanya.

Bagi memastikan kelangsungan perniagaan, Mohd Taufik turut merancang untuk mengeluarkan produk berasaskan bukan makanan pada masa hadapan dan sentiasa optimis untuk mempelbagaikan lagi cabang perniagaan.

“Kami akan tetap menghasilkan produk makanan lain daripada yang lain. Namun, dalam masa sama kami juga perlu mempelbagaikan lagi cabang perniagaan termasuklah produk bukan makanan,” katanya yang turut berharap Frunchie mampu berdiri setanding dengan biskut jenama tempatan yang terkenal.

– BERNAMA


Pengarang :