Pekerja sedang meneliti kualiti sarung tangan getah di kilang memproses Top Glove di Kawasan Perindustrian Meru pada 10 Disember 2019. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

PBT tiada kuasa tutup kilang untuk kawal wabak

Kenapa Kerajaan Negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak boleh tutup kilang sesuka hati untuk mengekang Covid-19?

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han jelaskan punca kuasa terletak di tangan Kerajaan Persekutuan. Di mana kuasa itu?

Berikut penjelasan lengkap beliau seperti kenyataan media yang dikeluarkan hari ini:

Kenyataan ini dikeluarkan untuk menjelaskan berkaitan kuasa pihak berkuasa tempatan di Selangor terutamanya dalam hal menutup kilang bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Persoalan yang diajukan melibatkan penggunaan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171], khususnya Seksyen 107(2), untuk menutup kilang dengan membatalkan lesen yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

Seksyen ini dirujuk di bawah.

“Tiap-tiap lesen atau permit yang diberi tertakluk kepada apa-apa syarat dan sekatan yang difikirkan patut oleh pihak berkuasa tempatan dan boleh dibatalkan oleh pihak berkuasa tempatan pada bila-bila masa tanpa memberi apa-apa sebab.”

Walaupun seksyen yang dirujuk seakan-akan memberi kuasa mutlak kepada PBT untuk membatalkan lesen, tindakan pembatalan harus dilakukan mengikut syarat serta parameter yang tertera di dalam lesen pada waktu ianya dikeluarkan dan bukannya bersifat arbitrari, dilakukan secara sewenang-wenangnya atau tanpa asas. Seksyen ini juga tidak menjelaskan berhubung tindakan PBT untuk mengarahkan penutupan kilang.

Lesen pengoperasian kilang yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan adalah sebagaimana yang tertakluk di bawah Akta 171 sahaja dan tidak melibatkan hal ehwal kesihatan berkenaan pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit yang mana undang-undang kesihatan berkenaan hal itu dikuatkuasakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu Akta 342.

Sejak 18 Mac 2020, penentuan tatacara operasi piawai ataupun SOP yang kita patuhi dikuatkuasakan melalui Akta 342. Ini termasuk Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan yang sedang dilaksanakan di hampir seluruh Negeri Selangor.

Akta 342 memberi kuasa kepada Menteri Persekutuan melalui Seksyen 3(1) untuk melantik Pegawai Kesihatan ataupun mana-mana pegawai lain bagi tujuan menguatkuasakan usaha mengawal penularan wabak Covid-19.

Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan kali pertama yang bermula pada 18 Mac 2020, pegawai-pegawai yang diberi amanah menguatkuasakan peruntukan Akta 342 melalui Seksyen 3(1) adalah Pegawai Polis DiRaja Malaysia dan RELA di mana bidang kuasa tersebut meliputi penentuan sektor sosial yang dibenarkan, kawalan pergerakan termasuk pergerakan merentas daerah atau negeri, sektor ekonomi dan premis yang boleh beroperasi atau diarahkan tutup, serta proses penentuan kesalahan dan penalti terhadap syarikat atau individu didapati ingkar syarat yang ditetapkan.

Pada 3 Mac 2021, Menteri Kesihatan dan Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri telah meminda Seksyen 2(1) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021 dan memperluaskan pegawai yang terlibat merangkumi Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan agar dapat turut bersama menjalankan penguatkuasaan ke atas SOP.

Harus diingatkan pindaan di atas bukan bermaksud pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa untuk menutup kilang. Pindaan itu dibuat bagi membolehkan Pegawai Kesihatan Persekitaran di pihak berkuasa tempatan membantu menjalankan penguatkuasaan SOP dan arahan Kerajaan Persekutuan. Kuasa tersebut masih di bawah Kerajaan Persekutuan.

Setakat ini salah satu usaha penutupan kilang dan pematuhan SOP dilaksanakan di bawah Op Patuh. Operasi tersebut telah dilaksanakan oleh suatu Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS) yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri yang mana Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor hanyalah salah satu anggota jawatankuasa.

Berdasarkan laporan Polis DiRaja Malaysia, setakat 12 Julai 2021, sejumlah 39,604 pemeriksaan telah dijalankan dalam Op Patuh di Selangor dengan 768 kompaun dikeluarkan dan sebanyak 214 premis termasuk kilang telah diarah tutup.

Proses pemeriksaan ini akan terus berlaku demi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikawal sehingga kes menurun agar sistem kesihatan negara tidak terbeban dengan jumlah pesakit yang mendadak.

Secara kesimpulannya, Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor menjalankan tugas secara telus dan bertanggungjawab mengikut parameter undang-undang serta doktrin ‘rule of law’ dan ‘fair and equitable treatment’ melalui peruntukan Akta 342 Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Pentadbiran ini telah merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri yang secara prinsipnya menyatakan bahawa pada masa ini, hal perkara mengenai operasi sektor pengilangan dan pembuatan termasuklah semua peraturan membabitkan premis operasi bagi tujuan pengawalan Covid 19 adalah tertakluk kepada Akta 342 dan apa-apa arahan serta SOP umum PKP/PKPB/PKPD yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Oleh yang demikian, bagi maksud Akta 342, pihak berkuasa tempatan tidak mempunyai bidang kuasa sama ada untuk membatalkan, menamatkan atau menarik lesen atau kebenaran secara sewenang-wenangya terhadap mana-mana kilang di negeri Selangor.

Kerajaan Negeri bersedia melaksanakan tindakan serta dasar yang perlu agi mencegah penularan wabak Covid-19 dalam batas dan parameter undang-undang yang ada.

 

Ng Sze Han adalah pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor


Pengarang :