Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menepuk tangan sebagai tanda penghargaan untuk barisan hadapan yang berkerja keras membendung pandemik Covid-19 semasa menyampaikan titah ucapan Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 18 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Peguam: Hanya Agong boleh batal Ordinan Darurat, Kabinet tiada kuasa

SHAH ALAM, 26 JULAI: Peguam Mohamed Hanipa Maidin menegaskan pembatalan Ordinan Darurat hanya boleh dilakukan Yang di-Pertuan Agong, bukan anggota Kabinet.

Beliau berkata hanya Baginda memiliki kuasa untuk membatalkannya berdasarkan peruntukan Artikel 150 (3) Perlembagaan Persekutuan berikutan undang-undang itu digubal bawah Artikel 150 (2B).

“Pembatalan itu mesti disahkan atau diperkenan melalui tandatangan Yang di-Pertuan Agong. Dan selepas itu ia wajib diwartakan. Setelah diwarta, ia baru boleh dikatakan sah dibatalkan,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Mohamed Hanipa yang juga ahli parlimen Sepang juga difahamkan pembatalan ordinan berkenaan sehingga kini belum diwarta.

“Oleh itu jika benar, ia mengesahkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional telah gagal membuktikan pembatalan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya lagi.

Dalam sidang khas Parlimen hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan semua ordinan darurat yang dijadual berakhir pada 1 Ogos ditarik balik pada 21 Julai lalu.

Pengumuman itu mengakibatkan ahli parlimen Pakatan Harapan mempertikai tindakan berkenaan.


Pengarang :