Penduduk Pangsapuri Mentari Court menerima suntikan vaksin Covid-19 di Surau Al- Mustaqim, Petaling Jaya pada 5 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pemberian vaksin di Mentari Court ketika PKPD wajar dicontohi

SHAH ALAM, 7 JULAI: Langkah pemberian vaksin di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) seperti Pangsapuri Mentari Court PJS 8 wajar dijadikan contoh.

Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO) berkata pendekatan itu boleh diguna pakai di mana-mana lokasi PKDP kerana menjimatkan kos dan kebiasaannya pelbagai agensi berada di kawasan terbabit serta saringan diadakan pada masa yang sama.

“Jadi tidaklah sia-sia mereka yang terkurung selama 10, 14 hari… bila mereka tahu dapat vaksin mereka tidak lari sebab sebelum ini jika nak tutup akan ada orang yang lari keluar. Kalau kita beri mereka insentif mungkin ini bantu mereka duduk.

“Ada persepsi PKPD ini menyusahkan rakyat, sebenarnya kita nak bantu jadi vaksin ini adalah solusi bahawa kita serius untuk membantu mereka dengan memberi vaksin,” kata Dr Mohammad Farhan Rusli ketika dihubungi.

Beliau berkata pemberian vaksin di kawasan PKPD juga dapat mematikan kawasan pencetus Covid-19 kerana jelas kawasan terbabit mempunyai kadar jangkitan yang tinggi.

Semalam, pegawai daerah Petaling berkata seramai 3,000 penduduk Pangsapuri Mentari Court dijangka menerima suntikan vaksin Covid-19.

Dato’ Johary Anuar berkata suntikan pelalian jenis Pfizer-BioNtech kepada hampir 9,000 penduduk dijangka selesai pada Khamis.


Pengarang :