Kolam ikan di Kampung Sungai Tekali yang dipercayai menjadi punca pencemaran Sungai Tekali, Kajang pada 25 Julai 2021. Foto Facebook Hee Loy Sian
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pemilik kolam ikan diarah henti lepas sisa ke Sungai Tekali

KAJANG, 26 JULAI: Pemilik kolam ikan di Kampung Sungai Tekali diarah menghentikan aktiviti pelepasan sisa ke dalam sungai, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata kegagalan pemilik premis berbuat demikian membolehkan tindakan diambil di bawah Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Keadaan air Sungai Tekali yang berwarna hijau hasil siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada 25 Julai 2021. Foto Facebook Hee Loy Sian

“Siasatan mendapati pencemaran air berwarna hijau berpunca daripada 15 kolam ikan di premis itu. Walaupun pemilik menafikan, sampel air diambil sama dengan kolam ikan tersebut.

“Selain itu didapati premis ini tidak mempunyai lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Loy Sian menerusi Facebook memaklumkan Skuad Pantas menerima aduan terdapat pencemaran air berwarna hijau di Sungai Tekali pada jam 1.40 petang semalam.

Persampelan bau diambil di Sungai Tekali dan pencemaran dipercayai berpunca daripada kawasan kolam ikan yang berada di kawasan Kampung Sungai Tekali.

Pada 9 November, sidang Dewan Negeri Selangor meluluskan pindaan Rang Undang-Undang LUAS 2020 selepas mendapat sokongan wakil rakyat Pakatan Harapan (PAKATAN) dan Perikatan Nasional (PN).

Pindaan itu menaikkan denda daripada RM100,000 kepada minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta manakala penjara dijadikan hukuman mandatori.


Pengarang :