Sukarelawan memberi penerangan berkenaan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) orang ramai yang hadir menerima suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MRSM Sungai Besar, Sabak Bernam pada 31 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pemuda buta teknologi selesai terima vaksin, ketua kampung bantu daftar

SABAK BERNAM, 31 JULAI: Seorang pemuda selesai menerima satu dos suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti selepas didaftarkan oleh ketua kampungnya.

Mengaku dirinya buta teknologi, Mohd Fazli Ahmad, 39, bekerja sebagai pesawah bersyukur kerana ada ketua kampung yang prihatin dengan masalah penduduk.

Mohd Fazli Ahmad, 39

“Kalau tidak ada ketua kampung mungkin sampai sekarang saya belum divaksin…galakan dan sokongan daripada penduduk setempat juga membuat saya teruja untuk terima suntikan pelalian ini demi membendung Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Fazli antara ratusan penerima suntikan Selvax Komuniti DUN Sungai Panjang di Dewan Maktab Rendah Sains Mara, Sungai Besar di sini, hari ini.

Warga emas Rahaiah Basar, 82, pula berkata biarpun takut, dia tetap menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 kerana mahu berjumpa cucu dan menjalani kehidupan normal.

“Pada mulanya agak takut selepas melihat jiran dan saudara mara ada yang demam mengigil dan tempat suntikan bengkak. Saya bimbang jika kesan vaksin terhadap saya bertambah teruk kerana faktor usia yang sudah lanjut.

Rahaiah Basar, 82

“Namun, anak beri kata semangat jika telah divaksin nanti keadaan boleh kembali normal, anak cucu pun dapat balik kampung,” katanya yang tahu mengenai Selvax Komuniti daripada kumpulan WhatsApp kampung.

Sementara itu, Tan Mui Chean, 37, memuji inisiatif Kerajaan Selangor yang disifatkan mudah dan tidak sampai 24 jam daftar telah menerima janji temu hari ini.

“Hari ini saya hadir bersama ibu bapa mentua yang turut menerima janji temu sama…proses daripada daftar sehingga hari suntikan semuanya cepat dan berjalan lancar,” katanya yang menetap di Sungai Panjang.


Pengarang :