Mariam Hassan menunjukkan antara jubah konvokesyen yang dijahitnya. Foto Ihsan Facebook Qabilah Tailor
BERITA UTAMARENCANA

Pendapatan terjejas, usahawan jahitan harap lanjutan moratorium pinjaman Hijrah

SHAH ALAM, 26 JULAI: Sebelum pandemik, seorang usahawan jahitan mampu meraih pendapatan mencecah RM50,000 sebulan hasil tempahan jubah konvokesyen dari institusi pengajian tinggi.

Mariam Hassan, 40, yang mengusahakan perniagaan itu lebih 10 tahun bersama suami, Mohammad Syafiee Ambok Dalek, 38, bermula secara kecil-kecilan di rumah hingga mampu mebuka kedai jahit sendiri di Damansara Damai.

Akui setiap kali tibanya hari konvokesyen mana-mana kolej atau universiti, dia dan suami tidak menang tangan menerima tempahan hingga lebih 5,000 jubah perlu dijahit selain pakaian seragam atau korporat dari syarikat dan agensi.

Namun segalanya berubah sejak wabak Covid-19 melanda, arahan sekatan pergerakan penuh memaksanya menutup kedai dan kembali mengusaha perniagaan di rumah sejak awal tahun lalu.

Tidak sampai hati untuk memberhentikan tiga pekerja, Mariam dan suami memutuskan untuk terus mengupah mereka dengan mengambil tempahan pakaian seragam seperti jubah imam dan peguam.

Memasarkan secara dalam talian. Pemilik jenama Qabilah Design ini menarik pelanggan dengan mempromosi di Shopee, Instagram (qabilahtailor.official) dan Facebook (Qabilah Tailor).

Kini bukan sahaja keuntungan lima angka sukar dicapai malah untuk meraih RM2,000 pun sukar. Kasihan dengan nasib pekerjanya, beliau dan suami tekad teruskan perniagaan dan menampung apa yang termampu.

Cadang Kerajaan Negeri melanjutkan moratorium pinjaman

Menurut Mariam, dia yang membuat pinjaman modal berjumlah RM30,000 amat berharap Kerajaan Negeri melanjutkan lagi tempoh bayaran moratorium itu.

“Sebelum ini saya bayar hampir RM300 setiap minggu. Namun, dengan keadaan pandemik ditambah dengan kurang tempahan, saya tidak rasa boleh untuk membayar hutang itu mengikut jadual.

“Kami harap Kerajaan Negeri dan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) boleh melanjutkan inisiatif ini sekurang-kurangnya dapat kurangkan beban kami sebagai peniaga,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada 24 Julai lalu, EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail memaklumkan moratorium bayaran pinjaman secara automatik kepada semua peminjam Hijrah dijangka dilanjutkan enam minggu lagi.

Menurut Rodziah, tempoh akhir moratorium itu yang sepatutnya sehingga hujung bulan ini wajar dipertimbangkan berikutan masih ramai peminjam yang masih terjejas pendapatan akibat Covid-19.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar mengumumkan seramai 40,000 usahawan Hijrah diberi moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 membabitkan impak kewangan berjumlah RM11.35 juta.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan tambahan berjumlah RM80 juta turut disalurkan bagi membantu 8,000 usahawan melalui modal awalan yang dikhususkan kepada individu hilang kerja akibat PKP.


Pengarang :