Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan bantuan makanan kepada wakil penduduk Flat Taman Samudera Timur, Gombak yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 19 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penduduk Flat Taman Samudera Timur divaksin mulai 25 Julai

GOMBAK, 20 JULAI: Penduduk Flat Taman Samudera Timur, di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan menerima vaksin antara 25 hingga 26 Julai.

Dato’ Menteri Besar menjangka suntikan pelalian membabitkan 3,320 penduduk dibuat setelah mereka selesai menjalani saringan Covid-19 dan disahkan negatif.

“Setakat ini hampir semua penduduk selesai disaring dan saya difahamkan dalam 30 individu lagi belum menjalani ujian calitan yang mungkin sehari dua ini akan selesai.

“Penduduk yang negatif kita akan beri vaksin dos pertama mungkin seawal 25 atau 26 Julai ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui media selepas meninjau flat terbabit malam tadi.

Beliau turut berharap proses saringan dan vaksin berjalan lancar selain tempoh PKPD di situ ditamatkan lebih awal seperti kawasan lain sebelum ini.

Amirudin berkata pemberian vaksin kepada penduduk PKPD adalah langkah terbaik yang dapat membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok.

“Contoh di sini paling tidak kita dapat vaksin sekurang-kurangnya 3,000 penduduk pada satu-satu masa dan mereka tidak perlu lagi menunggu janji temu di MySejahtera.

“Kerjasama penduduk juga amat baik kerana di beberapa kawasan PKPD sebelum ini ada cubaan melarikan diri tetapi di sini jumlahnya amat minimum iaitu empat hingga lima rumah sahaja tiada respon,” katanya.

Pada 16 Julai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Taman Samudera, Mukim Batu, Gombak antara 24 lokaliti dikenakan PKPD berkuat kuasa 18 hingga 31 Julai.

Sebelum ini, tiga lokasi PKPD di Selangor yang diberikan vaksin adalah Pangsapuri Mentari Court di Petaling Jaya, Taman Murni di Sepang dan Pangsapuri Sri Ayu di Bandar Baru Bangi.

 


Pengarang :