Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Penduduk Flat Taman Samudera Timur terima vaksin minggu kedua PKPD

SHAH ALAM, 18 Julai: Penduduk Flat Taman Samudera Timur, Gombak dekat sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan menerima vaksin Covid-19 pada minggu hadapan.

Pegawai daerah Gombak berkata semua penghuni akan disaring pada minggu pertama pelaksanaan perintah itu sebelum diberi suntikan pada minggu kedua.

“PKPD bermula hari ini sehingga 31 Julai melibatkan 3,000 penduduk dengan 650 kediaman di enam blok Flat Taman Samudera Timur.

“Kita akan mulakan saringan dan selepas itu beri vaksin. Jumlah penerima bakal diketahui selepas mengenal pasti mereka yang negatif serta disuntik sebelum ini,” kata Shukri Mohamad Hamin ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pada hari pertama PKPD sebanyak 650 bakul makanan telah diberikan dan untuk hari berikutnya makanan yang siap dimasak akan diagihkan kepada golongan memerlukan.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Taman Samudera, Mukim Batu, Gombak antara 24 lokaliti dikenakan PKPD berkuatkuasa 18 hingga 31 Julai.

Sebelum ini tiga lokasi PKPD di Selangor yang diberikan vaksin adalah Pangsapuri Mentari Court di Petaling Jaya, Taman Murni di Sepang dan Pangsapuri Sri Ayu di Bandar Baru Bangi.


Pengarang :