Kontraktor Majlis Perbandaran Klang (MPK) membuat persiapan di pusat penilaian Covid-19 (CAC) Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang pada 28 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Penduduk lega pusat nilai Covid-19 Sri Andalas dipindah

KLANG, 28 JULAI: Penduduk di Taman Sri Andalas menarik nafas lega apabila pusat penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Sukan Taman Sri Andalas dipindahkan ke Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang.

Setiausaha Surau An-Naim Syed Ahmad Tarmizi Syed Mohamad berkata pihaknya bersyukur dengan pemindahan CAC di sini walaupun mengambil masa dua minggu.

Syed Ahmad Tarmizi Syed Mohamad. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Bantahan dibuat kerana majoriti penduduk merupakan warga emas dan terdedah dengan jangkitan Covid-19.

“Sejak pusat ini ditubuhkan surau tidak dapat melaungkan azan seperti biasa kerana kedudukannya hanya bersebelahan sahaja,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Seri Siantan Kapten (B) Ahmad Othman, 72, berkata terdapat lebih 20,000 penduduk melibatkan tujuh kawasan perumahan di Taman Sri Andalas.

Kapten (B) Ahmad Othman. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Apabila CAC ini beroperasi di kawasan perumahan, penduduk fobia kerana pesakit yang hadir berkeliaran dan boleh menyebabkan Covid-19 merebak.

“Perkara paling membimbangkan berkaitan isu kebersihan kerana yang hadir juga membuang pelitup muka merata-rata,” katanya.

Terdahulu, penduduk taman itu membantah keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewujudkan CAC di dewan berkenaan yang terlalu hampir dengan lokasi perumahan dan menyuarakan kebimbangan mungkin berlaku peningkatan kes Covid-19.


Pengarang :