Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal laluan keluar masuk di sekitar Mentari Court ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 1 Julai 2021. Foto Bernama
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penduduk Mentari Court diminta bertenang, ikut arahan pihak berkuasa

SHAH ALAM, 1 JULAI: Penduduk Mentari Court, PJS 8, Petaling Jaya yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula hari ini,  diminta bertenang serta mengikuti arahan pihak berkuasa.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata mereka perlu kekal di rumah masing-masing bagi membolehkan pengesanan status kesihatan dan saringan dilakukan untuk memutuskan jangkitan Covid-19.

Beliau turut memberi jaminan pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor akan memastikan bekalan makanan tidak putus.

“Kita minta kerjasama penduduk untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan pihak berkuasa demi kebaikan bersama,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau berkata penduduk Mentari Court akan menerima suntikan vaksin di bawah program Selangor Vaksin (Selvax) sebaik proses saringan Covid-19 selesai.

“Kesemua 17,000 penduduk membabitkan 3,500 pintu di kawasan ini perlu melalui saringan terlebih dahulu, sekiranya positif mereka akan diasingkan manakala yang negatif divaksin segera.

“Proses vaksin dijalankan di perkarangan flat tanpa perlu mendaftar di Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan paling penting tidak perlu menunggu terlalu lama,” katanya.

Bermula hari ini, Mentari Court dikenakan PKPD selama 14 hari selepas merekodkan jangkitan tinggi.

Kerajaan juga mengenakan PKPD di Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS.


Pengarang :