Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau lokasi program pemberian vaksin kepada penduduk Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya pada 5 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penduduk Mentari Court selesai disaring, vaksin diberi elak PKPD berulang

SHAH ALAM, 6 JULAI: Dato’ Menteri Besar bersyukur apabila 9,007 penduduk Pangsapuri Mentari Court PJS 8 yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selesai disaring.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kini seramai 1,553 penghuni bakal diberi suntikan vaksin bagi memastikan mereka tidak perlu melalui PKPD sekali lagi selain penularan wabak dalam komuniti dapat ditamatkan.

“Semalam saya telah meninjau pelaksanaan PKPD di Mentari Court, Daerah Petaling. Pelaksanaan ini amat mencabar kerana penyediaan keperluan kepada hampir 17,000 penduduk.

“Alhamdulillah, semua penduduk yang terlibat telah disaring dan kini fasa seterusnya iaitu pemberian vaksin,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Beliau turut menjelaskan pemberian vaksin di pangsapuri yang dikenakan PKPD sejak 1 Julai lalu adalah yang pertama seumpamanya di negara ini.

“Kita berharap agar model ini dapat dilaksanakan di beberapa kawasan lain mengikut kesesuaian,” tambahnya.

Amirudin juga mengucapkan terima kasih kepada semua petugas dari pelbagai agensi persekutuan dan negeri yang terlibat dalam pelaksanaan PKPD berkenaan.

Semalam, Seramai 1,553 penduduk Pangsapuri Mentari Court menjadi kumpulan pertama dalam negeri ini menerima vaksin jenis Pfizer dalam kawasan PKPD selepas lebih 500 kes Covid-19 dikesan.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu dilaksana bagi memastikan penularan wabak dalam komuniti dapat diputuskan sekali gus mengelak PKPD berulang.


Pengarang :