Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Program Penyerahan Bantuan Makanan Kepada Mahasiswa di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 8 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Penduduk Taman Murni, lokasi kedua PKPD diberi vaksin Ahad ini

SERDANG, 8 JULAI: Penduduk Taman Murni, Sepang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dijangka menerima vaksin Ahad ini.

Dato’ Menteri Besar berkata mereka merupakan lokaliti kedua divaksin dalam kawasan PKPD selepas penduduk Mentari Court, PJS 8 Petaling Jaya.

“Sekarang persiapan logistik dan ekosistem sedang dilakukan di situ. Diharap tindakan ini akan mempercepatkan proses vaksinasi rakyat negeri ini.

“Ahad atau Isnin saya akan turun ke sana untuk melihat proses itu. Dijangka minimum 2,000 hingga 3,000 penduduk menerima suntikan ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Beliau ditemui ketika menyerahkan bantuan Program Pembangunan Dan Kebajikan Mahasiswa Anak Negeri Selangor kepada pelajar Universiti Putra Malaysia.

Menurut Amirudin format suntikan pelalian di kawasan PKPD akan dibuat sekiranya bekalan vaksin mencukupi.

“Cara ini memudahkan penduduk kerana mereka tidak lagi perlu ke pusat pemberian vaksin (PPV),” katanya.

Sejak Isnin hingga hari ini dijangkakan seramai 9,000 penduduk Mentari Court menerima suntikan pelalian jenis Pfizer-BioNtech.

Mereka merupakan kumpulan pertama yang menerima vaksin Covid-19 dalam kawasan PKPD.


Pengarang :