Perusahaan Yong Tau Fu di Bukit Kapar
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peniaga akur waktu operasi dipendekkan semula ketika PKPD

SHAH ALAM, 4 JULAI: Perubahan waktu niaga mulai 8 pagi hingga 8 malam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) tidak menjejaskan jualan peniaga.

Pengusaha Yong Tau Fu Bukit Kapar berkata kebanyakan pelanggannya lebih memilih waktu petang untuk mendapatkan bekalan makanan berbanding sebelah malam.

“Dari awal Jun kerajaan sudah ketatkan pergerakan selepas 8 malam. Jadi pelanggan pun tidak keluar selepas waktu itu kerana risau berdepan polis dan dikenakan tindakan.

“Jadi bila PKPD ini kita kena pendekkan waktu niaga ia tidak memberi kesan ketara. Mungkin ini lebih baik untuk kekang penularan Covid-19,” kata Akmal Baqhit Abdul Halim, 26.

Penjual air minuman di Seksyen 2, dekat sini, Shahrizal Ahmad, 40, berkata keuntungan peniaga sememangnya sudah terkesan walaupun PKPD tidak dilaksanakan.

Bagaimanapun, beliau tetap menghargai tindakan kerajaan yang masih membenarkan sektor perniagaan terus beroperasi seperti biasa.

“Tak guna buka sampai malam tetapi pelanggan tidak ada. Orang ramai pun sedar kepentingan duduk rumah ketika wabak semakin mengganas ini.

“Asalkan boleh berniaga itu sudah melegakan hati kami. Mungkin keuntungan tidak seperti dulu tetapi ia masih boleh tampung kehidupan,” katanya.

PKPD dikuat kuasa di 34 mukim dalam lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula semalam bagi membendung Covid-19.

Bagaimanapun, jika penularan wabak gagal dibendung, PKPD di sesuatu kawasan akan disambung selama dua minggu berikutnya.


Pengarang :