Ketua Pegawai Sumber Manusia Erlny Greiss (kiri) bersama kakitangan Touch n’ Go yang menerima vaksin di bawah Selvax Industri di PPV Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya baru-baru ini.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penjaja, penghantar barang disaran mohon Selvax, percepat suntik vaksin

SHAH ALAM, 10 JULAI: Penjaja, peniaga kecil serta pekerja e-panggilan disaran memohon Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti bagi mempercepat suntikan pelalian.

EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail berkata golongan tersebut berisiko mendapat jangkitan Covid-19 kerana perlu berjumpa dengan pelbagai pihak ketika menjalankan operasi perniagaan.

“Kerajaan Negeri akan beri suntikan vaksin kepada individu yang berisiko. Mereka hanya perlu daftar menerusi pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing walaupun peniaga itu tidak mempunyai lesen,” katanya.

Beliau berkata pada program `Bual Bicara Menyambung Nyawa Usaha IKS Dalam Era Covid-19′ disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube Selangor TV, malam tadi.

Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan serta mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 warga Selangor yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Manakala Selvax Industri merupakan program berbayar yang terbuka kepada syarikat secara sukarela dengan sasaran sejuta pekerja melibatkan dua juta dos.


Pengarang :