Ketua Pegawai Sumber Manusia Erlny Greiss (kiri) bersama kakitangan Touch n’ Go yang menerima vaksin di bawah Selvax Industri di PPV Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya baru-baru ini.
AGENDANASIONAL

Perak ikut jejak Selangor, beli vaksin untuk swasta

SHAH ALAM, 29 JULAI: Kerajaan Perak melaksanakan Program Vaksin Perak (PVP) dikenali SilverVax untuk ditawarkan kepada majikan dan syarikat swasta di negeri berkenaan.

Program dijalankan itu dilihat mencontohi Kerajaan Selangor menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax) dengan Selvax Industri dikhususkan kepada pihak tersebut untuk membiayai pekerja mereka mendapatkan suntikan vaksin.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, bagi tujuan itu, anak syarikatnya Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menerusi subsidiarinya, Majuperak Holdings Bhd (MHB) dilantik mengetuai pembelian vaksin bagi program terbabit, lapor Bernama.

“Kita ada terima permintaan kilang-kilang serta pemain industri yang ingin cepat dapatkan vaksin untuk kakitangan dan pekerja mereka. Kalau tunggu giliran (di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan – PICK) lambat, jadi mereka sedia bayar untuk vaksin.

“Kerana itu apabila Pharmaniaga Berhad dapat kelulusan bekal dos vaksin secara terus, maka kerajaan Perak terima tawaran itu dan kita gunakan MHB untuk uruskan pembelian dan jual kepada mana-mana pihak (industri).

“Ini program sokongan kepada program sedia ada. Jadi tidak timbul masalah kita tidak utamakan rakyat (yang menunggu giliran). Pemberian vaksin berbayar ini adalah program khusus untuk kepada pekerja kilang dan tidak perlu menunggu giliran seperti sekarang,” katanya dalam sidang media secara maya di pejabatnya.

Pada 9 Jun, Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri itu.

Untuk Selvax Industri, Selangor menyediakan dua juta dos vaksin kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak Covid-19 di tempat kerja.

Manakala program percuma Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 rakyat yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.


Pengarang :