Rodziah Ismail (tengah) bergambar bersama peserta selepas Majlis Penyampaian Peralatan Program SITHAM di Bangunan SUK, Shah Alam pada 13 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Persatuan harap syarat mohon bantuan pinjaman komuniti India tidak ketat

SHAH ALAM, 13 JULAI: Persatuan Usahawan Little India Klang berharap proses permohonan bantuan pinjaman pusingan modal khas untuk komuniti India menerusi program Viyabaram@Sitham tidak terlalu ketat.

Pengerusinya Charles Manickam berkata bantuan itu dapat meringankan beban peniaga namun syarat dan proses dokumentasi terlalu ketat menyukarkan permohonan.

“Kita sambut baik inisiatif kerajaan Negeri ini kerana dapat menyelamatkan peniaga daripada menghadapi risiko penutupan perniagaan.

“Ini kerana daripada 150 peniaga, hanya sembilan kedai sahaja dibenarkan beroperasi. Ada sebahagian cuba menjalankan perniagaan dalam talian namun kurang sambutan,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, kerajaan Negeri menerusi Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) memperuntuk RM10 juta sebagai bantuan pinjaman pusingan modal khas untuk komuniti India menerusi program Viyabaram@Sitham.

EXCO pembangunan usahawan Rodziah Ismail berkata seramai 2,000 peserta Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) sedia ada termasuk yang baharu mendaftar berpeluang menerima manfaat berkenaan.

Sitham dilancarkan pada September 2019 memfokuskan usahawan India yang komited memajukan perniagaan dengan diberi bimbingan, geran dan peralatan perniagaan.

Orang ramai yang berminat untuk memohon boleh melayari laman sesawang Hijrah Selangor atau hubungi talian 016-951 2458.


Pengarang :