Orang ramai beratur di luar pintu dewan seawal pagi untuk melakukan saringan Covid-19 di CAC Dewan Sukan Klang, Taman Sri Andalas pada 12 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pesakit pusat nilai Covid-19 Sri Andalas terkawal

SHAH ALAM, 16 JULAI: Pusat penilaian Covid-19 (CAC) daerah Klang di Dewan Taman Sri Andalas terkawal berikutan penurunan kehadiran pesakit berbanding ketika hari pertama dibuka pada Isnin lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata berdasarkan pemerhatian bilangan pesakit hanya ramai waktu pagi namun lengang pada tengah hari dan petang.

“Kerjasama pihak berkuasa melibatkan MPK (Majlis Perbandaran Klang), Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan polis memastikan keadaan di CAC terkawal sejak Selasa sehingga ke hari ini.

“Pemantauan dilakukan bagi memastikan isu kesesakan pesakit tidak berulang namun jika bilangan menunjukkan peningkatan pada setiap hari, CAC ini akan dipindahkan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 13 Julai, Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata seramai 1,900 orang hadir ke CAC berkenaan pada Isnin lalu melepasi kapasiti 1,000 pesakit sehari.

CAC ditubuhkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.

CAC negeri ini diuruskan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dengan dibantu pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melancarkan operasi.

 

 


Pengarang :