Orang ramai menunggu giliran untuk mendaftar suntikan vaksin Covid-19 semasa program Vaksin Selangor (Selvax) DUN Seri Serdang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Aurora Place Bukit Jalil pada 28 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Peserta Selvax digalak muat turun Selangkah, elak ruang daftar sesak

BUKIT JALIL, 28 JULAI: Orang awam yang menyertai Program Vaksinasi Selangor (Selvax) diminta memuat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) di telefon pintar masing-masing bagi melancarkan proses vaksinasi.

Penyelaras Selcare Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Aurora Place berkata tindakan itu mampu mengawal kesesakan di ruang pendaftaran sekali gus mengelak aktiviti perkumpulan memandangkan kehadiran peserta yang ramai.

“Kita nak elakkan pendaftaran secara manual kerana ia akan ambil masa. Jadi kita minta peserta sama ada bawah Selvax Komuniti atau Selvax Industri muat turun SELangkah sebelum datang ke PPV,” kata Nur Zulhafizah Zakaria ketika ditemui.

Beliau berkata program anjuran Kerajaan Selangor itu dilihat sebagai langkah tepat selain turut mendapat sokongan masyarakat dalam usaha membentuk imuniti kelompok.

“Setiap kali Selvax berjalan selepas PPV dibuka 26 Jun lalu, ia melibatkan kira-kira 1,000 hingga 2,000 peserta. Orang ramai nampaknya memang mahukan pelalian jadi program ini membantu mendapatkan vaksin lebih cepat,” katanya.

Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Maklumat lanjut mengenai Selvax boleh didapati dengan melayari laman sesawang https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600.


Pengarang :