Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) berbual dengan penerima vaksin ketika meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) di Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 30 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Petani, nelayan antara 1,000 penduduk Sekinchan mohon vaksin Selangor

SHAH ALAM, 17 JULAI: Hampir 1,000 penduduk di Sekinchan mendaftar untuk mendapatkan suntikan pelalian di bawah program Vaksin Selangor (Selvax) sejak dibuka pada 8 Julai.

Ahli Dewan Negerinya berkata pemohon terdiri daripada petani, nelayan, suri rumah, guru, peniaga pasar dan pemegang kad Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss).

“Setiap hari kita menerima permohonan dan tiada tarikh tutup ditetapkan selagi kuota 2,500 belum dipenuhi. Penduduk akan dimaklumkan apabila jumlah tersebut dicapai,” kata Ng Suee Lim ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor menjangkakan sebanyak 90 peratus rakyat Sekinchan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang awal September sekali gus membantu mencapai tahap imuniti kelompok.

Suee Lim turut mengakui proses pemberian suntikan pelalian di kawasan itu semakin lancar berbanding beberapa bulan lalu susulan tambahan satu lagi pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Seri Sekinchan.

“PPV terbabit beroperasi sejak 5 Julai dengan kapasiti 500 dos sehari sebagai permulaan dan sekarang difahamkan mencecah 1,000 dos sehari.

“Pemberian vaksin turut dijalankan dari rumah ke rumah khusus untuk pesakit strok serta orang kelainan upaya (OKU),” katanya.

Selvax dilancar bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini meliputi Selvax Komuniti dan Selvax Industri.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan penerima Inisiatif Peduli Rakyat.


Pengarang :