AGENDANASIONAL

PGA rampas arak tidak bercukai lebih RM1 juta di Klang

SHAH ALAM, 8 JULAI: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas hampir 20,000 liter minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai dianggarkan bernilai lebih RM1.2 juta dalam serbuan di sebuah gudang di Kampung Sungai Kandis, Klang semalam.

Komander Briged Tengah PGA Cheras SAC Muhammad Abdul Halim berkata serbuan turut menahan tiga lelaki tempatan dan lima lelaki warga Bangladesh berusia antara 25 hingga 57 tahun yang dipercayai ahli sindiket pengedaran minuman keras tidak bercukai di sekitar Lembah Klang.

“Serbuan dilakukan selepas PGA bertindak atas maklumat orang awam. Ketika serbuan, kesemua lelaki berkenaan sedang memunggah arak mengandungi alkohol antara empat hingga 16.3 peratus di dalam gudang itu yang digunakan sebagai stor penyimpanan dan pengedaran arak,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas tiga lori, sebuah van dan sebuah kereta yang menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM1.66 juta.

Menurutnya berdasarkan jumlah rampasan arak, kenderaan dan operasi pengedaran, pihaknya percaya sindiket berkenaan telah lama beroperasi namun siasatan lanjut akan dilakukan untuk mengetahui modus operandi sindiket itu termasuk dari negara mana arak tersebut diseludup.

Kesemua lapan lelaki itu diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan akan direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :