Selangorkini
Penduduk menyerahkan memorandum bantahan mewujudkan pusat penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Sukan Taman Sri Andalas, Klang kepada Pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang Dr Masitah Mohamad di PKD Klang pada 12 Julai 2021. Foto Facebook Mohd Zawawi Ahmad Mughni
ADN SELANGOR

PKD Klang setuju cadangan pindah pusat nilai Covid-19 Taman Sri Andalas

SHAH ALAM, 12 JULAI: Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang bersetuju dengan cadangan bagi memindahkan pusat penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Sukan Taman Sri Andalas, Klang ke lokasi lain.

Bagaimanapun Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis berkata agensi terbabit yang mengakui kesilapan berhubung rancangan pembukaan pusat itu memohon sedikit masa untuk mencari lokasi sesuai demi keselamatan dan ketenteraman penduduk.

“Pihak PKD bersetuju untuk menyemak semula dan cadangan memindahkan pusat berkaitan. Mereka juga memohon maaf serta mengakui kurang berpengalaman mengendali hal sebegini,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni menerusi kenyataan hari ini.

EXCO hal ehwal agama Islam itu menjelaskan pihak terbabit akan bertindak segera dengan mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan termasuk menguatkuasakan tatacara operasi piawai (SOP) ketat bagi pesakit yang hadir ke CAC.

Menurutnya, keadaan lalu lintas juga akan ditambah baik dengan kerjasama polis dan Majlis Perbandaran Klang selain menyediakan tempat letak kenderaan sesuai untuk pesakit.

“Mereka juga akan menyediakan pelan laluan sesuai bagi membolehkan surau dibuka dan tidak mengganggu penduduk sekitar,” katanya.

Terdahulu, penduduk taman itu membantah keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewujudkan CAC di dewan berkenaan yang terlalu hampir dengan lokasi perumahan dan menyuarakan kebimbangan mungkin berlaku peningkatan kes Covid-19.


Pengarang :