Rosdi Zakaria turut mendapat bantuan modal dari Hijrah Selangor bagi meluaskan perniagaan
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKP: Hijrah Selangor salur RM81.3 juta biaya lebih 7,000 peniaga

SHAH ALAM, 22 JULAI: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menyediakan pembiayaan berjumlah RM81.37 juta kepada 7,444 peniaga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga 3.0, maklum pengarah eksekutifnya.

Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata bantuan disalur sejak Mac tahun lalu hingga Julai berbentuk modal pusingan sepanjang tahun membantu meringankan beban usahawan terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Hijrah baru-baru ini memberi moratorium bayaran pinjaman kali kedua selama satu setengah bulan dan menjadualkan semula bayaran bagi kelangsungan perniagaan usahawan serta dapat membayar balik pembiayaan.

“Mereka yang ingin memohon boleh menghubungi pegawai di 20 cawangan Hijrah Selangor dan melayari laman sesawang www.hijrahselangor.com untuk maklumat lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada masa sama, Mohamad Suparadi menggalakkan peminjam supaya konsisten membayar balik pinjaman agar usahawan lain mendapat manfaat sama.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar membentangkan beberapa inisiatif di bawah Hijrah Selangor bagi meringankan beban usahawan daripada dampak Covid-19 di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan tambahan RM80 juta bagi membantu 8,000 usahawan melalui modal awalan yang dikhususkan kepada individu hilang kerja akibat PKP.

Menerusi pakej itu juga, seramai 40,000 usahawan Hijrah diberikan moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan yang membabitkan impak kewangan berjumlah RM11.35 juta.


Pengarang :