Pemangku Yang Dipertua MPS Cheremi Tarman (dua kanan) menyampaikan bantuan makanan asas kepada penduduk sambil disaksikan Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Rahim Kasdi (kanan) dan Ahli Majlis Zon 1 Ahmad Farizal Manaff (tengah). Foto Ahmad Farizal
PBTSELANGOR

PKPD: 200 penduduk lima kampung di Selayang terima bantuan

SHAH ALAM, 11 JULAI: Seramai 200 penduduk di lima kampung dalam Zon 1 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) menerima bantuan bekalan asas.

Ahli Majlis, Ahmad Farizal Manaff berkata kotak `sejuta harapan’ itu diedarkan kepada penduduk Kampung Gombak Utara, Kampung Sungai Chincin, Kampung Simpang Tiga, Kampung Tengah dan Kampung Sungai Pusu.

“Bantuan disalur hasil kerjasama penyumbang yang mahu meringankan beban penduduk. Sekarang ini banyak sektor terpaksa ditutup, peniaga tiada pendapatan, individu hilang pekerjaan dan ada yang murung akibat berkurung.

“Jadi, bantuan serba lengkap di dalamnya diberi kepada mereka tanpa ada syarat kelayakan namun percaya semua penerima memang amat terjejas dan memerlukan bekalan ini,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Beliau turut berterima kasih kepada sukarelawan atas khidmat diberikan tanpa mengira waktu bagi memastikan kesejahteraan masyarakat setempat dalam tempoh pandemik.

“Mari kita terus berdoa supaya pandemik hilang dan rakyat Malaysia serta seluruh dunia dapat menjalani semula kehidupan lebih baik,” katanya.


Pengarang :