Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri (dua dari kanan) membantu mengangkat kotak makanan ketika melancarkan program Bantuan Makanan Asas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Covid-19 di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Pandamaran Jaya pada 5 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGOR KINI
ADNSELANGOR

PKPD: Bantuan 4,000 pek makanan untuk penduduk Pelabuhan Klang

PELABUHAN KLANG, 5 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang menyediakan 4,000 pek makanan bagi membantu rakyat terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Wakil rakyatnya berkata bantuan berperingkat itu mula diagihkan hari ini menerusi wakil penduduk memandangkan penerima terikat dengan tatacara operasi piawai (SOP) pergerakan.

“Sejak seminggu lalu, kita hebahkan perkara ini dan minta penduduk memerlukan supaya mengisi borang secara dalam talian.

“Setakat pagi ini sahaja lebih 2,000 permohonan telah diterima. Ini memberi isyarat semakian ramai terkesan akibat pandemik dan perlu dibantu,” kata Azmizam Zaman Huri ketika melancarkan program bantuan itu di Pandamaran Jaya hari ini.

Beliau berkata setiap bakul mengandungi makanan asas antaranya beras, sardin, minyak, biskut dan gula bernilai RM50 serta mampu menanggung keperluan lebih seminggu untuk keluarga besar.

“Kita minta penduduk yang terputus bekalan makanan untuk mengambil peluang ini. Jika tidak tahu proses mengisi borang dalam talian, boleh hantarkan maklumat diri kepada nombor 017-2434200,” katanya.

Bermula kelmarin hingga 16 Julai ini, kerajaan menguatkuasakan PKPD di 34 mukim dalam lapan daerah di Selangor bagi membendung Covid-19.

Berikutan itu pergerakan penduduk terhad selain hanya seorang sahaja wakil isi rumah dibenarkan membeli barang keperluan asas sehingga 8 malam kecuali bagi kes kecemasan.


Pengarang :