Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal laluan keluar masuk di sekitar kawasan Mentari Court ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

PKPD di lebih 30 mukim dalam lapan daerah Selangor mulai Sabtu

SHAH ALAM, 1 JULAI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuat kuasa di 34 mukim dalam lapan daerah Selangor bermula Sabtu ini bagi membendung Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan hari ini bahawa perintah kawalan selama 14 hari dijadual berakhir 16 Julai.

Bagaimanapun, jika penularan wabak gagal dibendung, PKPD di sesuatu kawasan akan disambung selama dua minggu berikutnya.

Mukim-mukim yang terlibat seperti berikut:

Petaling (semua mukim): Petaling, Damansara, Sungai Buloh dan Bukit Raja

Hulu Langat (semua mukim kecuali Hulu Semenyih): Hulu Langat, Ampang, Cheras, Kajang, Semenyih dan
Beranang

Sepang (semua mukim): Dengkil, Labu dan Sepang

Gombak (semua mukim): Batu, Rawang, Setapak, Hulu kelang dan Kuang

Kuala Langat (semua mukim kecuali Kelanang): Tanjung 12 (1), Tanjung 12 (2), Teluk Panglima Garang, Morib, Bandar, Jugra dan Batu

Klang (semua mukim): Kapar dan Klang

Kuala Selangor (tiga daripada sembilan mukim): Ijok, Bestari Jaya dan Jeram

Hulu Selangor (empat daripada 13 mukim): Serendah, Rasa, Ulu Yam dan Batang Kali

“Selangor melaporkan purata kes harian Covid-19 antara 1,800 ke 1,900,” kata Ismail Sabri dalam kenyataan lewat petang ini.

“Kesemua daerah di Selangor dan Kuala Lumpur melaporkan insiden kes Covid-19 melebihi 12.1 bagi 100,000 penduduk.”

Tambahnya, kadar nilai kebolehjangkitan (R-naught) di dua negeri ini masih dalam lingkungan 1.0 dan tidak menunjukkan trend menurun.

“Situasi ini adalah membimbangkan apabila mengambil kira kepadatan penduduk dan penularan tiga varian baharu yang lebih ganas iaitu varian Beta B.1.351 (Afrika Selatan), Delta B.1.617.2 (India) dan Alpha B.1.1.7 (UK),” katanya.

Menurut kenyataan tersebut, susulan PKPD di kawasan-kawasan ini:

– semua laluan kawasan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh polis.

– semua penduduk tidak dibenarkan keluar dari kediaman kecuali seorang sahaja wakil untuk membeli keperluan asas dalam radius 10 kilometer.

– ujian saringan secara bersasar ke atas semua penduduk di kawasan terlibat.

– program pemberian vaksin akan dipergiatkan di kawasan terlibat.

– pergerakan rentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi di pusat pemberian vaksin (PPV) dibenarkan dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS.

– lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi seperti biasa.

– pengangkutan awam (keretapi, komuter, bas, lapangan terbang, teksi, feri, e-panggilan) boleh beroperasi dengan kapasiti 50 peratus.

– bilangan penumpang dalam teksi dan e-panggilan dihadkan dua orang termasuk pemandu.

– tiada sebarang pergerakan tidak perlu di luar kawasan kediaman selepas jam 8 malam kecuali kecemasan atau diberi kebenaran polis.

– hanya sektor perkhidmatan perlu (essential services) dibenar beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam seperti utiliti, pembersihan dan kumbahan.

– hanya kilang bahan makanan dan keperluan asas harian seperti beras, roti putih, gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar, susu tepung bayi, ubat-ubatan, dan topeng muka dibenarkan beroperasi.

– kebenaran untuk bekerja hanya bagi perkhidmatan perlu atau menjalankan tugas rasmi kerajaan dengan surat pengesahan daripada majikan atau pas pekerja yang sah.

– pekerja selain daripada perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPD.

– pekerja daripada perkhidmatan perlu dan kilang serta premis perniagaan yang dibenarkan sahaja boleh menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang dikeluarkan sebelum ini.

– restoran, kedai/gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera/pusat penjaja, gerai makan tepi jalan/kiosk dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam.

– pembelian makanan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran sahaja dibenarkan.

– kedai runcit, kedai serbaneka, kedai barangan keperluan harian dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam.

– hospital, klinik dan makmal perubatan dibenarkan beroperasi sehingga 24 jam atau mengikut lesen kebenaran.

– kedai farmasi, kedai penjualan ubat-ubatan, klinik haiwan, kedai makanan haiwan dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam.

– stesen minyak dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 8 malam kecuali stesen minyak di lebuh raya bertol beroperasi sehingga 24 jam.

– pasar borong dibenarkan beroperasi bermula 12 tengah malam hingga 6 pagi.

-pasar awam, Pasar Tani Kekal dan MyFarm Outlet dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi hingga 2 petang.

-aktiviti sukan, sosial, rekreasi dan budaya tidak dibenarkan.

Maklumat terperinci mengenai tatacara operasi piawai (SOP) boleh dirujuk di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di https://www.mkn.gov.my.

 

 


Pengarang :