Penduduk menunggu kehadiran Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari di Flat Taman Samudera Timur, Gombak yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) pada 19 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKPD Flat Samudera Timur: 400 individu disaring, 119 positif Covid-19

SHAH ALAM, 21 JULAI: Seramai 119 daripada 400 penduduk Flat Taman Samudera Timur, Gombak yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikesan positif Covid-19 setakat ini, maklum Pegawai Daerah Gombak.

Shukri Mohamad Hamin berkata seramai 26 pesakit dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Serdang 2.0 manakala 93 lagi menjalani kuarantin di rumah.

Menurut beliau, pesakit di rumah dibekalkan kit penilaian kesihatan dan keadaan mereka dipantau petugas kesihatan di pusat penilaian Covid-19 (CAC) mini dibangunkan sementara di dewan komuniti flat berkenaan.

“Kes dikesan hasil saringan yang setakat ini sudah membabitkan 400 penduduk, hari ini kita akan buat pemeriksaan 104 saringan kontak rapat,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Shukri, proses suntikan vaksin kepada penghuni negatif Covid-19 dijangka dilaksana pada Isnin depan serentak dengan aktiviti saringan.

“Suntikan akan diberikan di CAC mini manakala saringan di tiga khemah khas disediakan,” katanya.

Pada 16 Julai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Taman Samudera, Mukim Batu, Gombak antara 24 lokaliti dikenakan PKPD berkuat kuasa 18 hingga 31 Julai.


Pengarang :