Penduduk Pangsapuri Mentari Court menerima suntikan vaksin Covid-19 di Surau Al- Mustaqim, Petaling Jaya pada 5 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPD: Kesan 419 kes positif di Mentari Court

PETALING JAYA, 13 JULAI: Sebanyak 419 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan penduduk Mentari Court, di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sejak 1 Julai hingga semalam.

Pegawai daerah Petaling berkata daripada jumlah kes positif itu, seramai 68 individu dirujuk ke hospital serta pusat kuarantin manakala pesakit lain menjalani kuarantin di rumah dengan dipantau jabatan kesihatan.

“Secara keseluruhan 9,054 penduduk diuji menggunakan Rapid Test Kit (RTK). Daripada jumlah ini, seramai 5,797 menjalani pemeriksaan lanjut menerusi ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR).

“Langkah melaksanakan PKPD membolehkan ujian pengesanan Covid-19 dijalankan secara bersasar serta mengelak penularan wabak,” kata Datuk Johary Anuar kepada media berhubung penamatan PKPD kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata seramai 6,178 penduduk Mentari Court menerima suntikan vaksin termasuk 76 individu menerima dua dos sepanjang tempoh PKPD.

“Baki 2,876 individu yang tidak disuntik dalam program ini terdiri mereka yang sudah menerima vaksin atau menerima janji temu suntikan, berusia kurang 18 tahun serta mempunyai masalah kesihatan.

“Selain itu sepanjang 12 hari PKPD, seramai 395 penduduk diberi perkhidmatan rawatan melibatkan pelbagai kes,” katanya.

PKPD Pangsapuri Mentari Court PJS8 ditamatkan lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 14 Julai.

Penduduk Mentari Court juga menjadi kumpulan pertama dalam negeri ini menerima vaksin dalam kawasan PKPD.


Pengarang :