Suasana di hadapan asrama pekerja wanita Top Glove Jalan Abadi 1A Meru, Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika tinjauan sekitar jam 6.30 petang pada 16 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPD: Lapan kilang Top Glove di Klang ditutup

KLANG, 7 JULAI: Lapan daripada 28 kilang Top Glove di Meru ditutup kerana beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang berkata penutupan kilang itu dibuat menerusi operasi bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Pejabat Kesihatan Daerah Klang (PKD).

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang Mohd Zainal Mohd Nor (dua kanan) dalam operasi bersepadu di salah sebuah kilang Top Glove di Meru, Klang pada 5 Julai 2021. Foto ihsan pegawai daerah Klang

Mohd Zainal Mohd Nor berkata tujuh kilang ditutup kerana beroperasi dalam kategori perkhidmatan tidak perlu dalam tempoh PKPD manakala sebuah lagi atas kesalahan tiada lesen perniagaan yang sah.

“Tindakan ini selaras dengan peruntukan Seksyen 18 (1)(f) Akta Kawalan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan Perindustrian (MPK) 2007.

“Tiga kompaun berjumlah RM30,000 turut dikeluarkan di bawah Akta 342 atas kesalahan majikan gagal untuk memastikan pekerja mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati wujud kekeliruan berhubung kebenaran pengoperasian dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) kepada Top Glove.

“Kebenaran operasi ini tidak boleh diguna pakai bagi kawasan-kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan PKPD,” katanya.

PKPD membabitkan 34 mukim di lapan daerah di negeri ini selama 14 hari bermula Sabtu lalu hingga 16 Julai.


Pengarang :