Kegembiraan terpancar pada wajah Salasiah Hasan, 41 (kiri) dan ahli keluarganya susulan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehari lebih awal pada 13 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPD Mentari Court tamat sehari awal, penduduk rai dengan meriah

PETALING JAYA, 13 JULAI: Penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mentari Court PJS 8 yang awal sehari dari jadual asal disambut penuh meriah tengah malam ini.

Tepat jam 12, sebahagian besar penduduk bersorak-sorai merai berahirnya tempoh berkurung 12 hari yang dilalui mereka.

Ada juga penduduk turut membakar mercun dan bunga api sebagai simbolik penamatan sekatan tersebut.

Namun, mereka hanya meraikan ‘kebebasan’ itu di dalam rumah masing-masing tanpa sebarang aktiviti berkumpul.

Petugas barisan hadapan terutama tentera pula menanggalkan kawat besi selain ada pihak lain yang beramai-ramai menyanyikan lagu.

Bermula 1 Julai, lebih 17,000 penduduk di situ dikenakan PKPD selama 14 hari selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan lebih 500 kes positif Covid-19.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penamatan PKPD di situ ditamatkan lebih awal.

Penduduk Mentari Court menjadi kumpulan pertama dalam negeri ini menerima vaksin dalam kawasan PKPD.


Pengarang :