Kelihatan seorang penduduk Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 1, Klang yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD). Foto Facebook Majlis Perbandaran Klang
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPD Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 1, Klang mungkin tamat awal

SHAH ALAM, 27 JULAI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 1, Klang mungkin ditamatkan lebih awal.

Pegawai Daerah Klang berkata pihaknya mencadangkan perintah ketat itu ditamatkan lebih awal atas beberapa faktor termasuk semua penduduk sudah menerima vaksin.

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sedang menyiapkan permohonan supaya PKPD dapat ditamatkan lebih awal dari tarikh sepatutnya iaitu pada 31 Julai ini.

Petugas terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 1, Klang. Foto Facebook Majlis Perbandaran Klang

“Keseluruhan seramai 1,116 penduduk selesai menerima suntikan vaksin Ahad lalu kecuali mereka yang disahkan positif Covid-19,” kata Mohd Zainal Mohd Nor kepada SelangorKini.

Menurut beliau, seramai 212 individu didapati positif daripada 626 penduduk menjalani saringan Covid-19.

“Mereka dipanggil semula ke pusat penilaian Covid-19 (CAC) sementara di sini hari ini untuk dibuat penilaian sama ada kekal kuarantin di rumah atau ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) mini.

“Bagi pesakit yang berada di kategori tiga dan empat mereka akan dipindahkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Pada 16 Julai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat kawasan baharu dalam empat daerah di Selangor dikenakan PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut ialah Apartment Damai, mukim Damansara, Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, mukim Klang, Klang dan Taman Samudera, mukim Batu, Gombak.

Namun pada 25 Julai, Ismail Sabri mengumumkan PKPD Apartment Damai ditamatkan seminggu awal berbanding tempoh asal pada 31 Julai.

Sebelum ini dua kawasan menamatkan tempoh PKPD lebih awal iaitu di Pangsapuri Mentari Court PJS8 dan Westlite PKNS Petaling Jaya.


Pengarang :