Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada penduduk Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya pada 5 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPD: Penduduk Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 1 akan divaksin

SHAH ALAM, 18 JULAI: Penduduk Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 1, Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) akan menerima vaksin dalam tempoh terdekat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunarajah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan membuat saringan dalam tempoh 14 hari pelaksanaan PKPD iaitu mulai hari ini sehingga 31 Julai.

“Penduduk yang bebas Covid-19 diberikan vaksin secara terus manakala mereka yang disahkan positif akan menerima rawatan lanjut berdasarkan tahap kesihatan masing-masing.

“Langkah ini bagi memastikan rantaian penularan Covid-19 di kawasan ini dapat dikekang dan perkara paling penting adalah menjamin keselamatan penduduk,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Beliau berkata penduduk 969 unit kediaman melibatkan 11 blok pangsapuri dinasihatkan bertenang, mengikut arahan polis serta kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Pada 11 Julai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian vaksin kepada individu yang bebas Covid-19 di lokasi PKPD akan dipercepatkan untuk memastikan mereka dilindungi.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat kawasan baharu dalam empat daerah di Selangor akan dikuat kuasa PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut ialah Damai Apartment, mukim Damansara, Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, mukim Klang, Klang dan Taman Samudera, mukim Batu, Gombak.


Pengarang :