Penduduk Pangsapuri Mentari Court menerima suntikan vaksin Covid-19 di Surau Al- Mustaqim, Petaling Jaya pada 5 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPD: Penghuni Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 1 disaring Rabu

SHAH ALAM, 19 JULAI: Penghuni bergejala di Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 1, Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) akan menjalani saringan Covid-19 mulai Rabu ini.

Pegawai Daerah Klang Mohd Zainal Mohd Nor berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sedang melaksanakan bancian melibatkan 2,875 penghuni di 998 unit rumah untuk menilai status kesihatan mereka.

“Buat masa ini tumpuan saringan melibatkan individu bergejala namun PKD akan membuat penilaian risiko sama ada terdapat individu tidak bergejala yang perlu menjalani saringan atau tidak.

“Kepada penduduk yang tidak bergejala pula, mereka akan diberi vaksin mulai Sabtu ini,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 1,000 bakul makanan diagihkan kepada penduduk menerusi kaedah pintu ke pintu hari ini.

Pada 16 Julai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat kawasan baharu dalam empat daerah di Selangor akan dikuat kuasa PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut ialah Damai Apartment, mukim Damansara, Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, mukim Klang, Klang dan Taman Samudera, mukim Batu, Gombak.


Pengarang :