Pesakit Covid-19 melakukan pendaftaran sejurus tiba di Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu Covid-19 (PKRC) di MAEPS Serdang pada 29 Mei 2021. Foto BERNAMA
BERITA UTAMASELANGOR

PKPD: PKRC mini untuk rawat penduduk Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 1

SHAH ALAM, 21 JULAI: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) mini disediakan untuk merawat penduduk Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 1, Klang yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Pegawai Daerah Klang Mohd Zainal Mohd Nor berkata pusat itu akan menggunakan dewan serbaguna berhampiran yang boleh menampung kapasiti 50 pesakit.

“Kita tidak letakkan katil sebaliknya guna kubikel Jabatan Kebajikan Masyarakat. Setakat ini masih belum beroperasi kerana saringan individu bergejala bermula esok.

“Bagaimanapun pusat ini hanya untuk kes positif tahap satu dan dua sahaja. Mereka boleh menerima rawatan serta dipantau tanpa perlu ke pusat kuarantin yang jauh,” katanya kepada SelangorKini.

Bermula Ahad, kawasan pangsapuri membabitkan 969 unit kediaman dari 11 blok itu dikenakan PKPD selama dua minggu susulan peningkatan jangkitan Covid-19.

Perintah sama turut dikuat kuasa di tiga kawasan lain di negeri ini iaitu Damai Apartment, mukim Damansara, Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat dan Taman Samudera, mukim Batu, Gombak.


Pengarang :