Dato’ Arjunaidi Mohamad (kanan) pada sidang media mengenai kejayaan rampasan dadah dan menumpaskan dua makmal dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 14 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPD: Polis Selangor kesan golongan terjejas untuk dibantu

SHAH ALAM, 2 JULAI: Polis Selangor akan membantu golongan terkesan akibat pandemik Covid-19 khususnya di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata pihaknya mengeluarkan arahan yang mana ketua balai dan anggota diminta untuk mengenal pasti golongan terbabit untuk segera dibantu.

“Di Selangor saya pertingkatkan lagi supaya kita lebih proaktif untuk mengesan golongan ini. Selepas kenal pasti, kita akan bantu dengan menghubungkan mereka dengan agensi berkenaan seperti lembaga zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara ‘PKPD di Selangor: Yang Perlu Anda Tahu’ yang disiarkan secara langsung di Media Selangor hari ini.

Arjunaidi berkata orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat kepada pihaknya dengan menghubungi balai polis berdekatan.

“Mungkin ada yang menghadapi kemurungan kerana mempunyai masalah kewangan, jadi hubungi balai pada bila-bila masa. Kita akan bantu mereka bagi mendapatkan bantuan dari segi kewangan, kaunseling,” katanya.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKPD akan dilaksana di 34 mukim di lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula esok dan dijadual berakhir 16 Julai.


Pengarang :