Anggota tentera memasang kawat duri sekitar kawasan Taman Bukit Angkasa ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di lokaliti tersebut berkuat kuasa pada 1 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

PKPD: Polis tingkat kawalan luar pagar kawat duri

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Polis mempertingkatkan kawalan di luar kawasan lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dipasang dengan kawat duri.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata usaha itu dibuat bagi membendung pencerobohan orang awam dari luar pagar kawat duri yang memasuki lokaliti PKPD.

“Di Kuala Lumpur misalnya mereka buat PKPD secara lokaliti dengan memasang kawat duri yang didapati efektif bagi mengelakkan pergerakan penduduk dan orang awam.

“Namun timbul isu dilaporkan ada dalam kalangan mereka yang keluar masuk dengan melalui kawat duri itu…jadi kami rasakan kawalan di luar juga perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan ia berlaku lagi,” katanya pada sidang media selepas meninjau sekatan jalan raya Plaza Tol Gombak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang wanita yang disyaki menyusup masuk melalui dawai duri di kawasan PKPD di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dekat Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam di sini.

Hari ini, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas sebuah video insiden itu yang dirakam orang awam tular di media sosial.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa- apa penyakit berbahaya kepada nyawa dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan lain, diminta mengulas mengenai situasi negara berikutan perkembangan semasa, Mazlan memberi jaminan keselamatan dan ketenteraman awam berada dalam keadaan terkawal.

“Tidak ada perkara yang menjadi kebimbangan kami dan rakyat dinasihat untuk menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :