Anggota polis dan tentera melakukan sekatan jalan raya di laluan keluar masuk Plaza Tol Bukit Jelutong, Shah Alam pada 16 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKPD: Surat kebenaran operasi sektor logistik boleh terus digunakan

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Pemain industri sektor logistik dan pengangkutan boleh terus mengguna pakai surat kebenaran beroperasi Sistem Maklumat Industri Logistik (Sistem SMILE) bertarikh dari 1 Jun 2021 dan ke atas bagi pemeriksaan di sekatan jalan raya.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan semalam menyebut ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa mukim dan lokaliti di Selangor dan Kuala Lumpur dari 3 hingga 16 Julai depan serta pengumuman Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bagaimanapun, surat terbaharu dengan pindaan mengambil kira peralihan dari fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke PPN sedia dimuat turun pada 5 Julai dari sistem SMILE melalui laman sesawang https://application.mot.gov.my. Pemain industri digalakkan untuk memuat turun surat ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut bagi aktiviti memunggah masuk atau memunggah keluar barangan bukan keperlua (non-essential) ia hanya dibenarkan di kawasan luar PKPD sahaja (di seluruh negara) berdasarkan kepada prosedur operasi standard sedia ada.

Bagi kawasan dalam PKPD, ia hanya terhad kepada syarikat pergudangan sahaja kerana syarikat ini merupakan perkhidmatan rantaian kepada pelabuhan dan lapangan terbang yang jelas dibenarkan dalam tatacara operasi piawai (SOP) PKPD Selangor.

“Bagi sektor selain pergudangan, aktiviti memunggah masuk atau keluar hanya terhad kepada syarikat yang tersenarai dalam senarai ‘keperluan’ PKPD sahaja.

Menurut kenyataan itu sektor pergudangan tidak tertakluk kepada had operasi barangan keperluan sahaja kerana ia menyediakan perkhidmatan penyimpanan dan pemunggahan barangan siap kepada pelabuhan.

“Aktiviti sektor pergudangan ini tidak melibatkan sebarang aktiviti pembuatan. Sehubungan itu, sektor pergudangan boleh terus beroperasi tanpa kekangan kepada jenis barangan keperluan dan bukan keperluan,” menurut MOT.

Kenyataan itu menyebut perkhidmatan perlu yang dibenarkan bagi sektor pengangkutan dan logistik termasuk pengangkutan laut, udara dan maritim; barangan dan pengangkutan awam serta pelabuhan dan lapangan terbang.

Selain itu, perkhidmatan kepada pelabuhan dan lapangan terbang seperti ‘off dock/on dock’ depoh; pemusnahan dagangan zon bebas; pembekalan keperluan kapal dan membekal air bersih; operasi courier/p-hailing (penghantaran barangan melalui kenderaan persendirian dan perdagangan) serta perkhidmatan terminal pengangkutan awam.

-BERNAMA


Pengarang :