Anggota tentera membuka kawat duri susulan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Merpati A, Pandan Indah pada 30 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPD tamat bukan petanda bebas Covid-19, jangan abai SOP

AMPANG, 31 JULAI: Penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sehari awal di Pangsapuri Merpati A, Jalan Pandan Indah di sini bukan bererti penduduk bebas dari pandemik Covid-19.

Pegawai Daerah Hulu Langat Najmuddin Jemain berkata penduduk perlu terus berhati-hati dan mengelak aktiviti sosial berikutan ada yang masih menjalani kuarantin kendiri.

“Mereka kena tahu kita masih belum menang lagi kerana kurang kesedaran itu menyebabkan kita menghadapi peningkatan kes kerana ada pelanggaran SOP (tatacara operasi piawai) yang mungkin terleka walaupun tidak mempunyai niat.

“Bagi memastikan penduduk sentiasa peka, saya akan minta pengurusan pangsapuri memantau dan kerap mengingatkan penduduk agar lebih berhati-hati,” katanya kepada Selangorkini.

Jelasnya, PKPD ditamatkan sehari awal susulan 559 penduduk selesai divaksin pada 29 Julai lalu dengan keseluruhan 899 penghuni menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Petang semalam, Menteri Kanan Luar Negeri (keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan perintah kawalan ketat di pangsapuri berkenaan ditamatkan sehari awal.

Kawasan tersebut dikenakan PKPD mulai 18 Julai selepas puluhan penghuni dijangkiti Covid-19.


Pengarang :