Dato’ Seri Amirudin Shari melawat gerai penjaja ketika Majlis Pelancaran Platform Selangor (PLATS) 2.0 Selangor e-Dapur dan e-Pembekalan Peruncit Mikro dan Kecil di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Batu Caves pada 11 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

PLATS dapat sambutan, 25,000 individu daftar dalam sebulan

SHAH ALAM, 9 JULAI: Kira-kira 25,000 individu mendaftar sebagai peserta Platform Selangor (PLATS) selepas Kerajaan Negeri memperluaskan program itu kepada penjaja kecil dan peruncit bulan lalu.

EXCO pembangunan usahawan berkata angka dicatatkan dalam tempoh sebulan itu menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap usaha dijalankan bagi menggerakkan ekonomi.

Susulan itu Rodziah Ismail berkata pihaknya menawarkan bantuan pembiayaan Hijrah lebih cepat kepada peserta yang memerlukan modal permulaan.

“Menerusi PLATS usahawan mendapat akses pembelian dari seluruh negara selepas dibantu dari aspek pemasaran, digitalisasi dan latihan.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berucap pada Majlis Pelancaran Liga Usahawan Selangor secara dalam talian pada 31 Mei 2021.

“Jadi selepas ini peserta yang mahu mengembangkan perniagaan boleh memohon bantuan secara terus tanpa perlu mengisi borang. Sediakan dokumen dan Hijrah akan terus proses,” katanya pada program Bual Bicara Menyambung Nyawa Usaha IKS Dalam Era Covid-19.

Program disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube Selangor TV malam tadi.

Rodziah berkata pihaknya merancang menjadikan PLATS sebagai pusat sehenti untuk memudahkan peserta mendapatkan bekalan perniagaan tanpa terhad kepada penjualan makanan sahaja.

Pada 9 Jun Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan PLATS diperluas kepada perusahaan kecil dan sederhana mikro menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

PLATS diperkenal Ramadan tahun lalu bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor membabitkan usahawan melalui satu platform digital.

Pada 11 April lalu, PLATS 2.0 dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.


Pengarang :