SELANGOR

Polis Klang siasat video tular anggota minta wang sogokan

SHAH ALAM, 4 JULAI: Polis membuka satu kertas siasatan tatatertib susulan tular rakaman video anggotanya didakwa meminta wang sogokan daripada pemilik sebuah kenderaan pacuan empat roda yang di percayai berlaku di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata pihaknya telah mengenal pasti anggota yang terlibat dalam insiden itu.

“Polis menyeru supaya pemilik akaun atau mana-mana orang yang mempunyai maklumat lanjut berkenaan kejadian supaya menghubungi polis Klang Utara untuk membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook Polis Daerah Klang Utara.

Nurulhuda berkata kejadian berkenaan dikesan pihaknya susulan hantaran semula rakaman video oleh pemilik akaun Twitter @fahmynazrul semalam yang memaparkan anggota polis tersebut disyaki meminta wang sogokan daripada pemilik kenderaan terbabit.

Terdahulu tular rakaman video kamera papan pemuka berdurasi 1.02 saat bertarikh 1 Julai lepas memaparkan dua anggota polis menahan seorang lelaki di tepi jalan sebelum didakwa meminta sejumlah wang.

– BERNAMA


Pengarang :