Sebahagian kenderaan pasukan Toyota Hilux GS Cargo yang diserahkan kepada Polis Kontinjen Selangor pada majlis penyerahan kenderaan pacuan empat roda tersebut di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 26 Julai 2021. Foto BERNAMA
SELANGOR

Polis Selangor terima 35 unit pacuan empat roda baharu

SHAH ALAM, 26 JULAI: Polis Selangor hari ini menerima 35 unit kenderaan baharu pacuan empat roda Toyota Hilux Single CAB 2.4 jenis GS Cargo (4WD GS Cargo) yang akan diserahkan kepada setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi tujuan penugasan pihaknya.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kenderaan yang mampu memuatkan 10 anggota untuk sekali penugasan itu adalah bersesuaian bagi pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR), light strike force (LSF), membawa mayat, mengangkut barang dan sebagainya.

Jelasnya, polis Selangor merupakan kontinjen pertama menerima pacuan empat roda model berkenaan yang saiznya lebih besar daripada model kenderaan yang dimiliki pihaknya sekarang.

“Sebenarnya kita buat (perolehan) 400 pacuan empat roda GS Cargo merangkumi semua kontinjen. Untuk kontinjen Selangor kita bekalkan lebih (dari negeri lain) sebanyak 35 buah kerana ia kontinjen yang besar dan mempunyai daerah yang banyak.

“Dalam tempoh dua minggu lagi insya-Allah serahan kenderaan pacuan empat roda GS Cargo ini akan dilakukan di Kontinjen Kuala Lumpur…(buat masa ini serahan) di sekitar Lembah Klang untuk memudahcarakan operasi,” katanya kepada Bernama dan RTM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor selepas sesi penyerahan kenderaan pasukan Toyota Hilux GS Cargo hari ini.

Sehingga kini, Mazlan berkata Kontinjen Selangor menerima agihan 37 kenderaan bagi 2020 dan 2021 untuk kegunaan di IPD serta balai polis antaranya melibatkan 18 lori model Hino; tiga pacuan empat roda Toyota Hilux D/C 2.8 Black EDI dan dua pacuan empat roda Toyota Triton 2.4 VG Premium.

-BERNAMA


Pengarang :