Ahli Dewan Negeri Pandan Indah Ir Izham Hashim (dua dari kanan) meninjau stok barangan keperluan sempena Program Agihan Bakul Makanan di Pangsapuri Merpati A Pandan Indah, Ampang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 27 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Program Agro Prihatin berjaya atasi hasil tani tidak terjual

AMPANG, 27 JULAI: Program Agro Prihatin Selangor berjaya mengatasi isu hasil pertanian tidak terjual susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh panjang.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata menerusi inisiatif itu, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membelanjakan lebih RM400,000 untuk membeli lambakan hasil serta membantu petani menjual untuk mengelak kerugian.

“Alhamdulillah dengan usaha dijalankan, lambakan hasil pertanian terkawal. Aduan hasil tidak terjual pada mulanya agak tinggi tetapi kini sudah berkurangan sejak wujudnya Agro Prihatin Selangor,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Serahan Sumbangan Makanan Asas Kepada Penduduk Perumahan Pangsapuri Merpati A yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini.

Izham berkata PKPS turut membuat jualan menerusi lori PKPS berhampiran Hotel Concorde Shah Alam, selain 12 pusat jualan tetap yang dibuka.

Pada 2 Jun Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semua hasil pertanian dijual semula 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran di 12 lokasi terpilih.

Sebanyak 12 pusat jualan dibuka iaitu:
– Wisma PKPS Shah Alam
– Pusat Pengumpulan PKPS Seksyen 7 Shah Alam
– Pusat Pengumpulan PKPS Seksyen 9 Shah Alam
– Pusat Pengumpulan PKPS Seksyen 13 Shah Alam
– Pusat Operasi PKPS Meru, Klang
– Pusat Operasi PKPS Pandan
– Pusat Operasi PKPS Tanjung 12, Kuala Langat
– Pusat Operasi Agrosel, Bangi
– Pusat Operasi Selangor Fruit Valley, Rawang
– Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Dengkil
– Pusat Operasi Fama Puchong
– Pusat Operasi Fama Kelana Jaya


Pengarang :